Berita

Parlimen perlu tegas terhadap MP keluarkan ucapan seksis, rasis

Oleh Fatih Hassan Nordin

Pemimpin DAP, Kasthuri Patto mencadangkan kepada Speaker Dewan Rakyat untuk meminda peraturan mesyuarat bagi membolehkan tindakan yang lebih tegas dikenakan terhadap ahli Parlimen yang sengaja mengeluarkan kenyataan seksis, rasis dan menyinggung perasaan semasa sesi persidangan.

Ahli Parlimen Batu Kawan itu antara lain mencadangkan supaya pihak yang membuat ucapan sedemikian dirujuk secara automatik ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Merujuk Peraturan Mesyuarat 36, tambahnya, peraturan tersebut boleh dipinda bagi membolehkan wakil rakyat yang terlibat disiasat jawatankusa itu dan didenda tidak kurang dari RM500.

Jelas Kasthuri, Speaker mempunyai kuasa dalam Peraturan Mesyuarat 83(5) untuk memanggil mesyuarat Jawatankuasa Peraturan-peraturan bagi membincangkan perkara tersebut.

Beliau juga menyatakan kesudian untuk dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung cadangan pindaan berkenaan kepada Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat.

“Pindaan ini sudah tentu bukan sahaja akan memelihara kesucian Dewan Rakyat, malah ahli Parlimen, khususnya ahli Parlimen wanita, termasuk saya yang telah dijadikan sasaran kenyataan jelek sebelum ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahman sebelum ini diarah oleh Speaker Dewan Rakyat untuk menarik balik kata-katanya yang menyinggung Kashutri dan membuat permohonan maaf.

Kasthuri yang juga Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP berharap ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang dapat sama-sama menyokong pindaan berkenaan bagi menjadikan Parlimen Malaysia institusi bertaraf antarabangsa. — Roketkini.com