Berita

MP DAP gesa kerajaan terus bantu PKS terjejas Covid-19

Kerajaan digesa melancarkan Geran Khas Prihatin (GKP) fasa kedua bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang terjejas ekoran penularan Covid-19.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata terdapat lebihan dana daripada pelaksanaan fasa pertama inisiatif tersebut.

“Peruntukan awal GKP adalah sebanyak RM2.1 bilion untuk 700,000 penerima. Bagaimanapun, sehingga 20 Julai 2020, hanya 545,000 PKS yang permohonnya diluluskan dengan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM1.64 bilion.

“Lebihan (dana) ini harus dibuka untuk permohonan bagi memberi manfaat kepada 160,000 PKS,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Naib Pengerusi DAP Melaka itu, tempoh permohonan GKP juga terlalu singkat, iaitu dari 1 hingga 15 Mei, berbanding permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang dibuka selama sebulan.

“Banyak PKS yang terlepas pandang skim berkenaan, sebahagiannya disebabkan oleh hebahan publisiti yang kurang efektif oleh kerajaan.

“Perintah kawalan pergerakan (PKP) juga masih dikuatkuasakan semasa tempoh permohonan tersebut, menyebabkan kesukaran untuk pemilik PKS menyediakan dokumen yang diperlukan,” katanya.

Malah, katanya, beliau juga menerima aduan di kawasannya tentang permohonan BPN yang ditolak kerana mempunyai perniagaan yang berdaftar.

“GKP amat penting untuk mereka yang bergantung kepada perniagaan sebagai sumber pendapatan.

“Ini termasuk mereka yang berniaga kecil-kecilan. Mereka ini antara paling terkesan dengan PKP dan ramai daripada mereka masih bergelut untuk bangun semula,” ujarnya.

Geran khas sebanyak RM3,000 disediakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin PKS) kepada setiap syarikat PKS mikro yang layak. — Roketkini.com