Berita

Siti Zailah sepatutnya lebih peka, sensitif

Wanita Harapan menzahirkan rasa kecewa dan dukacita atas kecuaian Timbalan Menteri di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dalam melindungi hak kanak-kanak di media sosial beliau.

Ini ekoran tindakan timbalan menteri itu berkongsi gambar beliau menziarahi kanak-kanak yang merupakan anak kepada mangsa pembunuhan baru-baru ini, telah tular di media sosial dan media arus perdana sehingga nama serta gambar kanak-kanak terbabit dilaporkan di muka surat pertama Utusan Malaysia hari ini.

Dalam satu kenyataan, Wanita Harapan menegaskan, tindakan tidak bertanggungjawab Siti Zailah dan kecuaian beliau adalah bersalahan dengan akta kanak-kanak yang melindungi kepentingan, kebajikan dan keselamatan golongan itu.

“Kami menegaskan bahawa sebagai kementerian utama yang menjadi pemegang taruh terpenting isu kanak-kanak di Malaysia, beliau seharusnya lebih peka dan sensitif terhadap hak kanak-kanak tersebut dan menjadi teladan baik kepada orang awam dan pihak media.

“Tragedi dan keadaan traumatik kanak-kanak ini sepatutnya tidak disebarluaskan untuk tontonan umum apatah lagi dijadikan ruang oportunis meraih sokongan politik,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sehubungan itu, Wanita Harapan menggesa semua pihak termasuk pimpinan Kerajaan Perikatan Nasional dan Utusan Malaysia untuk memahami dan menghormati perundangan sedia ada yang melindungi kanak-kanak di Malaysia. — Roketkini.com