Berita

Anthony cabar kerajaan PN deklasifikasi memorandum Kabinet KVDT2

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mencabar Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) untuk mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin mengubah (declassify) status rahsia rasmi semua memorandum Jemaah Menteri (MJM) berkenaan projek Landasan Berkembar Elektrik di Lembah Klang Fasa Dua (KVDT2).

Beliau berkata, langkah itu supaya semua fakta dan latar belakang projek terbabit serta ulasan daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi serta Jabatan Peguam Negara boleh diketahui dan dinilai oleh orang awam.

“Untuk rekod dan berlaku adil kepada Lim Guan Eng, saya ingin menegaskan bahawa Kementerian Kewangan di bawah pimpinan beliau secara konsisten menyarankan projek tersebut ditender semula dalam semua ulasan mereka kepada Jemaah Menteri.

“Mungkin pihak ARMADA tidak memahami cara keputusan dibuat dalam Jemaah Menteri. Untuk makluman, keputusan Kabinet perlu dibuat secara kolektif selepas perbincangan dan perbahasan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kes KVDT2, Anthony berkata, kertas pertimbangan tersebut dibentangkan oleh beliau selaku Menteri Pengangkutan pada ketika itu.

Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan katanya, mencadangkan supaya projek tersebut ditender semula.

“Namun, majoriti ahli Jemaah Menteri berpendapat bahawa projek tersebut patut dianugerahkan semula kepada Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA)-Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) JV.

“Ini kerana beberapa faktor seperti pengurangan kos yang dipersetujui sebanyak 15 peratus, risiko tindakan undang-undang oleh kontraktor terhadap kerajaan akibat pembatalan kontrak yang telah ditandatangani oleh kerajaan terdahulu, kepentingan LTAT dalam projek tersebut dan supaya projek tersebut boleh diteruskan tanpa kelewatan.

“Antara menteri yang paling lantang menyokong projek tersebut dianugerahkan semula kepada DMIA-LTAT JV ialah seorang menteri dari Bersatu yang masih duduk dalam Kabinet pada hari ini,” katanya.

Anthony berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan ARMADA, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir semalam yang menuntut penjelasan Guan Eng mengapa projek KVDT2 dianugerahkan semula kepada syarikat DMIA-LTAT JV walaupun terdapat bantahan daripada pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan kononnya RM1 bilion lesap akibat keputusan tersebut.

Ahli Parlimen Seremban itu menambah, amat jelas sekali bahawa mereka tidak membuat ‘kerja rumah’ sebelum memanggil sidang media kerana mereka langsung tidak memahami fakta-fakta yang asas dalam isu tersebut yang telah beliau perjelaskan berkali-kali beberapa minggu lalu selepas isu ‘101 projek diluluskan secara rundingan terus’ dibangkitkan di Parlimen. –Roketkini.com