Berita

Teruskan usaha PH pastikan pendidikan berkualiti dapat diakses semua, terutama kanak-kanak berkeperluan khas

Perikatan Nasional (PN) diharap dapat meneruskan usaha Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh semua terutama bagi kanak-kanak berkeperluan khas.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan kelak diharap akan terus memperlihat:

  • Kenaikan Elaun Pelajar Berkeperluan Khas.
  • Lebih banyak peruntukan untuk meningkatkan kemudahan sekolah.
  • Program Genius Kurnia perlu diperluas dan diberi keutamaan.

Ketika PH memerintah, jelas Nie Ching, Kementerian Pendidikan telah menerapkan Zero Reject Policy Dasar Penolakan Sifar (DPS) yang menyaksikan pertambahan bilangan kanak-kanak berkeperluan khas di sekolah kerajaan.

“Sebelum ZRP dilaksanakan, terdapat 83,039 pelajar berkeperluan khas di sekolah kerajaan.

“Tetapi selepas satu setengah tahun, berlaku peningkatan yang luar biasa iaitu 92,755 pelajar dalam sistem,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk menyokong ZRP, tambah Nie Ching yang juga mantan timbalan menteri pendidikan, kerajaan PH meningkatkan peruntukan Elaun Pelajar Berkeperluan Khas dengan ketara.

Berbanding RM100 juta pada tahun 2018, ujaranya, peruntukan meningkat kepada RM155 juta pada tahun 2020.

“Tambahan RM55 juta adalah kerana kami mengambil berat dan ia diterjemahkan kepada peruntukan belanjawan yang lebih besar. Bukan itu sahaja, pada tahun 2019 kami juga menaik taraf 840 sekolah menjadi institusi mesra orang kurang upaya.

“PH terus menyokong langkah ini dengan meluluskan anggaran sebanyak RM23 juta pada tahun 2020 untuk memperbaiki sekolah mesra orang kurang upaya,” katanya lagi. — Roketkini.com