Berita

Kembalikan peruntukan tubuh TASKA untuk ‘frontliners’ dalam Belanjawan 2021, gesa Hannah

KETERANGAN GAMBAR: Hannah Yeoh ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat beramah mesra dengan kakitangan hospital semasa Majlis Pelancaran TASKA Tempat Kerja Sektor Awam di Hospital Sibu, Sarawak pada Julai, 2019.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) digesa mengembalikan RM30 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 kepada tujuan asalnya, iaitu menubuhkan lebih banyak TASKA di Tempat Kerja untuk ‘frontliners’.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, TASKA itu terutamanya di hospital, balai polis dan agensi kerajaan yang beroperasi secara syif.

Menurut beliau, perkara ini perlu menjadi satu keutamaan dalam Belanjawan 2021.

“Realitinya hari ini, masih terdapat ramai ‘frontliners’ yang tidak mempunyai sokongan penjagaan anak. Ada yang terpaksa mengambil cuti atau menghantar anak ke rumah pengasuh atau TASKA swasta.

“Ini melibatkan kos yang lebih tinggi kerana kerja syif yang tidak menentu. Isu penyediaan TASKA di tempat kerja untuk ‘frontliners’ ini sangat kritikal bagi memastikan Malaysia dapat melawan Covid-19 dengan berkesan.

“Jika kebajikan keluarga ‘frontliners’ tidak dijaga, nescaya prestasi kerja mereka di lapangan akan terjejas,” katanya dalam satu sidang media menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Hannah yang juga mantan timbalan menteri memberitahu, dalam Belanjawan 2020, Kementerian Kewangan pada masa itu memperuntukkan sebanyak RM30 juta, iaitu peningkatan sebanyak tiga kali ganda berbanding tahun 2019 bagi tujuan tersebut.

Bagaimanapun tambahnya, hanya RM5.5 juta dibelanjakan untuk penubuhan 34 buah TASKA di Tempat Kerja.

Jelas beliau, peningkatan sebanyak RM30 juta itu sepatutnya dapat menyediakan sekurang-kurangnya 200 buah TASKA di Tempat Kerja di agensi Kerajaan.

“Namun, baki sebanyak RM24.5 juta tersebut telah disalurkan untuk tujuan lain iaitu PENJANA termasuk bantuan khas TASKA swasta,” ujarnya. — Roketkini.com