Berita

MP DAP gesa KKMM tambah waktu siaran TV Pendidikan

Oleh Fatih Hassan Nordin

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menambah waktu siaran televisyen pendidikan (TV Pendidikan) di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Katanya, ini bagi memastikan murid yang tidak berkemampun memiliki alat peranti untuk mengikut pembelajaran secara dalam talian tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.

Beliau merujuk hasil Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian yang dilaksanakan oleh KPM yang mendapati 36.9% murid tidak mempunyal alat peranti yang sesuai untuk mengikut pembelajaran dalam talian.

“Saya harap KPM dan KKMM mengambil berat tentang isu ini dan pastikan RTM akan menambah waktu siaran untuk TV Pendidikan dalam masa yang terdekat,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini. 

Untuk rekod, program TV Pendidikan yang disediakan KKMM di saluran TV Okey, iaitu salah satu saluran RTM hanya bersiaran selama dua jam sehari bermula 6 April lalu. 

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga mantan Timbalan Menteri Pendidikan berkata, waktu program TV Pendidikan yang disiarkan oleh RTM ketika ini adalah singkat jika dibandingkan dengan negara jiran.

“Seperti di Indonesia yang mana tv pendidikan berlangsung enam jam sehari di saluran tv arus perdana, di Thailand pula terdapat 15 saluran tv khusus untuk pendidikan,” ujarnya.

Untuk rekod, KPM menutup sekolah bermula 9 November hingga hari terakhir persekolahan 18 Disember berikutan peningkat kes Covid-19 di negara ini. — Roketkini.com