Rencana

Pendidikan hak semua anak Malaysia

Oleh Ghafar NS

Ilmu adalah jambatan emas buat setiap manusia dalam mengubah corak fikir dan status kehidupan seseorang pada zaman ini. Hak berpendidikan adalah hak semua.

Namun, apabila Covid-19 menyerang dunia, sektor pendidikan terjejas dengan amat teruk kerana negara kita kurang bersedia dalam dunia digitalisasi merentas gunung juga belantara.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac lalu, ramai anak-anak yang berhenti bersekolah kerana keluarga tidak mampu menyediakan alat peranti elektronik, apatah lagi capaian internet, terutamanya anak-anak luar bandar dan keluarga rentan.

Ramai guru menyatakan kesukaran mengajar dalam talian oleh kerana capaian internet yang tidak stabil dan tidak semua anak-anak murid memunculkan diri ketika sesi pembelajaran atas talian kerana pelbagai masalah.

DAP sebagai sebuah parti yang mengangkat kepentingan pendidikan menghulur tangan membantu keluarga dan anak-anak yang terjejas ini dengan memberi sumbangan alat peranti elektronik baru juga terpakai seperti komputer dan komputer riba.

Sejak bulan Mac lagi, ramai Adun dan Ahli Parlimen DAP yang telah menyalurkan bantuan ini kepada keluarga dan anak-anak yang memerlukan. Sekurang-kurangnya 361 buah set komputer dan komputer riba telah diagihkan oleh wakil-wakil rakyat DAP di serata negara.

Ada juga beberapa wakil rakyat DAP telah mengambil inisiatif memberi bantuan berbentuk kewangan kepada pelajar-pelajar yang berjaya melanjutkan pelajar ke menara gading di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Kulai yang juga merupakan mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching hadir dengan tiga aspirasi Belanjawan 2021 untuk pendidikan (https://www.roketkini.com/2020/11/04/aspirasi-belanjawan-2021-untuk-pendidikan/) sebagai panduan untuk kerajaan dalam memastikan tiga perkara ini diberi keutamaan dalam belanjawan tahun hadapan;

  1. Meningkatkan peruntukan untuk Murid Berkeperluan Khas dan Pendidikan Khas
  2. Mewujudkan suasana sekolah yang lebih kondusif dan selamat
  3. Menyediakan Sarapan Pagi yang berkualiti untuk murid-murid golongan B40

Pendidikan adalah untuk semua. Menjadi tanggungjawab kerajaan dalam memastikan setiap anak Malaysia lancar memperoleh akses pendidikan dan ilmu berdasarkan tahap masing-masing.

Namun, pembentangan Belanjawan 2021 hanya membuat duka cita kepada banyak pihak, lebih-lebih lagi belanjawan yang kononnya ‘terbesar dalam sejarah’ ini dilihat tidak membela nasib anak-anak pelajar di peringkat persekolahan mahupun mahasiswa dan mahasiswi.

Belanjawan 2020 memperuntukkan RM64.1 bilion bagi sektor pendidikan dan ia meningkat daripada tahun sebelumnya. Namun, di bawah Perikatan Nasional (PN), peruntukan Belanjawan 2021 untuk pendidikan menurun kepada RM50.4 bilion ketika negara sedang berperang melawan Covid-19 dan ramai pelajar di pelbagai peringkat terjejas teruk.

Ini jelas tidak masuk akal. Apatah lagi, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) iaitu unit propaganda politik kerajaan yang dahulunya telah dihapuskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) bakal mendapat peruntukan amat besar, iaitu RM85.5 juta.

Teo Nie Ching sekali lagi bersuara membela sektor pendidikan yang dianaktirikan menerusi Belanjawan 2021 ini dengan menggesa kerajaan untuk menggunakan peruntukan JASA berjumlah RM85.5 juta bagi pembelian komputer riba kepada murid yang memerlukan. (https://www.roketkini.com/2020/11/11/guna-peruntukan-rm85-5-juta-jasa-untuk-bantu-murid-memerlukan/)

Merujuk kepada Kajian Kesediaan Murid oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), didapati bahawa 36.9 peratus daripada 893,331 murid tidak mempunyai peranti untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Menyambut baik matlamat utama Belanjawan 2021 ini adalah untuk kesejahteraan rakyat, kerajaan perlu menarik balik peruntukan yang begitu tinggi untuk JASA dan disalurkan semula kepada anak-anak Malaysia yang memerlukan bantuan peranti elektronik, kerana ini adalah suatu hal yang kritikal buat masyarakat hari ini.

Suatu hal lagi yang perlu diambil berat dalam membantu anak-anak yang bersekolah adalah waktu siaran televisyen pendidikan (TV Pendidikan) yang disiarkan oleh RTM perlu ditambah daripada dua jam sahaja.

Teo Nie Ching baru-baru ini menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar dapat mengambil tindakan lanjut agar anak-anak yang tidak mempunyai peranti elektronik lain, mampu meneruskan pembelajaran menerusi rancangan tersebut di televisyen dengan jangka masa lebih panjang. (https://www.roketkini.com/2020/11/18/mp-dap-gesa-kkmm-tambah-waktu-siaran-tv-pendidikan/)

Ketika situasi getir ini, menjadi tanggungjawab kerajaan, pihak swasta dan masyarakat yang berkemampuan untuk sama-sama membantu memastikan tiada anak Malaysia yang tercicir daripada pendidikan.

Pendidikan adalah untuk semua anak Malaysia dan ia juga yang mampu mengubah taraf kehidupan sesebuah keluarga serta membantu membina negara yang lebih maju. — Roketkini.com