Berita, Rencana

Kit Siang gesa laporan Suhakam 2019 dibahas di Parlimen

Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Parlimen pada hari Khamis 3 Disember 2020:

Seruan kepada Kabinet Muhyiddin untuk memanjangkan sidang mesyuarat Parlimen selama sehari untuk membolehkan laporan tahunan Suhakam 2019 dibahaskan bagi membuktikan bahawa kerajaan ini bukan sebuah kakistokrasi yang takut dengan isu hak asasi manusia

Saya menyeru kepada Kabinet Muhyiddin untuk memanjangkan sidang mesyuarat Parlimen selama sehari untuk membolehkan laporan tahunan Suhakam 2019 diperbahaskan bagi membuktikan bahawa kerajaan ini bukan sebuah kakistokrasi yang takut dengan isu hak asasi manusia, dan juga untuk membahaskan pelbagai usul untuk merujuk Ahli-ahli Parlimen ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana menyalahgunakan hak dan kebebasan dalam Parlimen mereka yang berlaku dalam sidang semasa ini.

Adalah sangat malang jika negara ini tersepit, berada di antara kleptokrasi yang berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum 9 Mei 2018 dan kini dengan sebuah kakistokrasi yang dihasilkan dari Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menggulingkan Kerajaan Pakatan Harapan yang telah berusaha untuk menyelamatkan negara ini daripada satu trajektori negara yang gagal, mahupun sebuah kleptokrasi atau kakistokrasi.

Walaupun sukar dan bahkan menggerunkan, satu-satunya jalan untuk Malaysia adalah dengan menuntut semula kehormatan negara, untuk kembali bangun dan memenuhi potensinya selari dengan apa yang diisytiharkan oleh Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957, untuk Malaysia menjadi “rakyat berbilang kaum dan berbilang agama yang hidup bersama dan hidup dalam keamanan dan kesejahteraan”.

Seperti yang dikatakan oleh Tunku dalam Proklamasi Kemerdekaan enam puluh tiga tahun yang lalu, Malaysia ‘akan selamanya menjadi sebuah negara demokratik dan merdeka yang berdaulat berdasarkan prinsip kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga kesejahteraan dan kebahagiaan rakyatnya dan memastikan kedamaian yang adil di antara semua bangsa.’

Malaysia akan memungkiri prinsip-prinsip dasar pembinaan negara yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara jika Parlimen Malaysia tidak berani membahaskan laporan tahunan Suhakam dan meneruskan amalan yang dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan di Parlimen pada bulan Disember lalu.

Bolehkah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan mengapa beliau bersetuju untuk membenarkan perbahasan mengenai laporan tahunan Suhakam di Parlimen semasa menjadi Menteri dalam Kerajaan Pakatan Harapan tetapi tidak bersetuju apabila beliau menjadi Perdana Menteri?

Adakah beliau ini seperti seekor musang berbulu ayam?

Kerajaan Perikatan Nasional telah memungkiri ikrar Bapa Malaysia untuk negara kita menjadi “obor cahaya dalam dunia yang kelam” dengan membentuk kakistokrasi selepas negara kita menjadi kleptokrasi.

Terdapat banyak isu hak asasi manusia yang akan dibahaskan dalam laporan tahunan Suhakam 2019, sama ada pembunuhan Teoh Beng Hock di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengapa pembunuh di SPRM ini berjaya melarikan diri dari keadilan dalam tempoh 11 tahun yang lepas; penghilangan paksa Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat setelah lebih dari satu dekad, dan apa yang berlaku pada pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Muhyhiddin pada bulan Jun 2019 ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri; kematian dalam tahanan polis; reformasi penjara; kesan wabak Covid-19 terhadap rakyat Malaysia, tahanan, pekerja migran dan pelarian; pengeliruan dan berita palsu yang salah dan apa yang digambarkan oleh Pengerusi Suhakam, Tan Sri Othman Hashim sebagai “umpan perkauman oleh ahli politik kanan” dalam perutusannya dalam laporan tahunan Suhakam 2019 terkini; jurang digital dan yang paling penting, rasuah dan integriti awam di Malaysia.

Saya telah mengatakan bahawa tahun 2020 telah menjadi tahun yang memalukan bagi Parlimen Malaysia.

Tetapi masih terdapat harapan — dalam kenyataan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh semalam yang mengatakan PAC akan menjemput Transparency International untuk memberi taklimat mengenai Laporan Barometer Rasuah Global untuk Asia 2020 yang menyatakan bahawa 71 peratus rakyat Malaysia merasakan bahawa rasuah dalam kerajaan adalah masalah serius.

Rakyat Malaysia harus memuji PAC kerana berani menerokai wilayah baru yang tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan tidak melakukan reformasi Parlimen yang penting untuk memastikan bahawa Pengerusi PAC perlulah dilantik daripada kalangan Ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Tetapi PAC perlu mengadakan pendengaran awam dan Jawatankuasa Tetap Peraturan Mesyuarat perlu segera bertindak untuk membolehkan PAC melakukan perkara ini.

Saya telah mencadangkan agar Parlimen menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Integriti. Cadangan ini telah disokong oleh G25, kumpulan yang terdiri daripada penjawat awam tertinggi.

Mengapakah kerajaan masih berlengah-lengah mengenai penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Integriti ini?

Masih belum terlambat untuk Parlimen membahaskan laporan tahunan Suhakam dan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Integriti, jika Kerajaan Perikatan Nasional tidak takut dengan isu-isu mengenai hak asasi manusia, rasuah dan integriti masyarakat.

Bolehkah kerajaan Perikatan Nasional melakukan dengan lebih baik? — Roketkini.com