Berita, Rencana

Menteri KPWKM gagal pertahan hak OKU, wanita dan kanak-kanak – Nie Ching

Oleh Teo Nie Ching

(Ahli Parlimen Kulai)

Kerajaan dalam Belanjawan 2021 telah bersetuju untuk menaikkan kadar bantuan kebajikan bulanan seperti berikut:

1.     Kadar Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300;
 
2.     Kadar Bantuan Warga Emas dan Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar dinaikkan daripada RM350 kepada RM500;
 
3.     Kadar Elaun Pekerja OKU dinaikkan daripada RM400 kepada RM450; dan
 
4.     Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan daripada RM100 seorang anak dengan maksimum RM450 sekeluarga, kepada RM150 seorang anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun atau RM200 seorang anak berumur 6 tahun dan ke bawah dengan maksimum RM1,000 sekeluarga.

Menurut ucapan Kewangan Menteri pada 6hb November, kenaikan kadar ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion iaitu tambahan sebanyak RM700 juta dan memanfaatkan lebih daripada 400 ribu penerima.

Soalan pertama. Peruntukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2020 adalah RM2.472 bilion. Peruntukan KPWKM untuk tahun 2021 adalah RM2.584 bilion. Jadi di mana peruntukan tambahan sebanyak RM700 juta yang disebut oleh Menteri Kewangan?
 
Belanjawan 2021 masih di peringkat Jawakankuasa. YAB Perdana Menteri buat satu pengumuman semperna Hari OKU Sedunia 2020 pada 3hb Disember bahawa “bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkan ke RM1,000, yang pastinya golongan OKU juga termasuk dalam kumpulan masyarakat yang akan mendapat faedah dari kenaikan itu. Saya akan pastikan cadangan ini dapat dilaksanakan segera. Insya-Allah.”

Soalan kedua. Bila bantuan bulanan JKM akan dinaikkan ke RM1,000? Apa maksud “segera”? Januari 2021? Mac 2021? Kalau hasrat YAB Pagoh adalah menaikkan bantuan bulanan JKM ke RM1,000, kenapa ia tidak disebut dalam ucapan Belanjawan 2021? Yang paling penting, mana peruntukan untuk peningkatan ini?
 
Sekiranya peningkatan ini juga akan memanfaatkan lebih daripada 400 ribu penerima, kita perlu peruntukan sebanyak RM400 juta sebulan,  ataupun RM4.8 bilion setahun. Peruntukan KPWKM setahun, peruntukan mengurus campur peruntukan pembanjunan, hanya RM2.5 bilion setahun. Di mana peruntukan bantuan OKU yang dijanji oleh YAB Perdana Menteri?
 
Ketiga, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat gagal untuk menjelaskan pendirian dan pandangan KPWKM tentang pemerolehan kewarganegaraan Malaysia bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu bertaraf warganegara dengan bapa bertaraf Bukan Warganegara.

Lelaki warganegara Malaysia berkahwin dengan wanita asing, dan melahirkan anak di luar negara, anak berkenaan secara automatik menjadi warganegara Malaysia. Sebaliknya, wanita warganegara Malaysia berkahwin dengan rakyat asing dan melahirkan anak di luar negara, walaupun perkahwinan itu teratur dan diiktiraf, anak berkenaan tidak dapat kerakyatan Malaysia secara automatik.

Ini merupakan diskriminasi dan ketertindasan terhadap wanita Malayisa. Anak warganegara lekaki yang lahir di  luar negeri juga berkemungkinan dapat dwi kewarganegaraan. Kenapa hanya anak wanita warganegara Malayisa yang diangggap akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara?
 
Ini bukan kali pertama KDN memberi jawapan yang bersifat opresif dan regresif. Wanita Malayisa dan kanak-kanak masih menunggu Menteri Pembangunan Wanita dan Timbalannya untuk mempertahankan hak wanita dan kanak-kanak. — Roketkini.com