Berita, Rencana

Rina Harun disaran beri keutamaan tambah 1,500 pelindung kanak-kanak

Oleh Hannah Yeoh

(Ahli Parlimen Segambut)

Rancangan penstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui pertambahan 8,000 kakitangan secara kontrak seperti yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Harun baru-baru ini dilihat tidak mencerminkan keperluan sebenar JKM di lapangan.

Cadangan penstrukturan semula ini sebenarnya telah dibuat semasa pentadbiran KPWKM yang diterajui oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas kami melakukan audit dan memperolehi hasil Kajian Pengurusan Organisasi JKM yang dilakukan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bermula Disember 2018 hingga Mei 2019.

Sehingga kini jumlah keseluruhan kakitangan JKM adalah seramai 6,000 orang dan timbul persoalan bagaimana boleh berlaku pertambahan kakitangan secara kontrak sejumlah 8,000 orang hanya untuk sebuah agensi Kerajaan sahaja.

Jika Menteri Rina Harun benar-benar serius mengenai penstrukturan semula JKM ini, beliau terlebih dahulu perlu memberi keutamaan kepada pertambahan pegawai pelindung kanak-kanak iaitu sekitar 1,500 orang, pegawai psikologi dan pegawai kebajikan yang perlu membuat siasatan ke atas permohonan bantuan yang diterima.

Menteri Rina Harun diingatkan untuk tidak sesekali mengisi kekosongan jawatan kontrak 8,000 ini sebagaimana beliau melantik sukarelawan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang dibayar elaun (sehingga kini beliau masih belum menafikan dakwaan bahawa mereka merupakan ahli Srikandi Bersatu).

Jangan jadikan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai cabang politiknya. Kerja kebajikan sosial tidak sama dengan kerja politik. Beliau harus membuktikan komitmennya bermula dengan pembentangan Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial terlebih dahulu dan perlantikan lebih ramai pegawai pelindung kanak-kanak serta memastikan mereka mendapat latihan yang secukupnya. Ini bukan persoalan lantikan sukarelawan politik, ini persoalan nyawa kanak-kanak yang sedang dipertaruhkan. — Roketkini.com