Berita, Isu Semasa, Rencana

Solidariti pemimpin DAP hulur bantuan pasca banjir Pahang

oleh Ghafar NS

Sukar membaca berita berkaitan pemimpin-pemimpin daripada pembangkang terutamanya DAP yang aktif menghulur bantuan kepada mangsa banjir di Pahang di ruangan media arus perdana.

Sejak hari pertama bah memusnahkan rumah, harta benda, mengorbankan nyawa dan menyukarkan kehidupan mangsa-mangsa banjir di Pahang, pimpinan DAP tidak henti-henti menghulur pelbagai bantuan.

Bukan sahaja ahli-ahli Parlimen atau ADUN kawasan, malah pimpinan DAP dari serata negeri turun bersama memberi bantuan dan sumbangan sewajarnya.

Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pantas dan sentiasa bersedia menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Parlimennya.

Sejak bah melanda 4 Januari 2021, sumbangan berbentuk tunai, tilam, bantal dan makanan kering disalurkan kepada penduduk terkesan termasuk orang asli di kawasan Raub.

Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri bersama penduduk Cheroh, Raub

Di samping itu, beliau turut menerima bantuan daripada pimpinan DAP daripada kawasan dan negeri lain.

Pada 9 Januari 2021, Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming bersama Unit Tindak DAP Bangi menghulur bantuan kepada Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri bagi bersama-sama membersihkan beberapa rumah penduduk di kawasan Dong, Raub yang berlumpur setelah banjir reda.

Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming membersihkan lumpur di sebuah kediaman mangsa banjir.

Adun Ketari, Young Syefura Young Othman juga melancarkan Misi Sukarelawan Banjir @ Raub bagi mengumpul tenaga kerja dan menghulur bantuan membersihkan kediaman mangsa banjir di Raub pada hari yang sama.

Adun Ketari, Young Syefura bergambar kenangan bersama keluarga yang terkesan selepas banjir besar di Raub

Sehari selepas itu, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke bersama-sama Tengku Zul dan Adun Bilut, Lee Chin Chen menyampaikan sumbangan tilam, bantal dan beberapa barang keperluan lain bagi mengurangkan beban mangsa banjir.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke membantu menyerahkan sumbangan tilam kepada mangsa banjir

Selain itu, terdapat beberapa pejabat ahli Parlimen yang membantu mengutip sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada Parlimen dan kawasan-kawasan yang teruk terjejas akibat banjir.

Contohnya, Ahli Parlimen Bukit Mertajam berjaya mendapatkan sumbangan 450 set tilam, selimut dan bantal untuk dihantar ke Sg Jerik, Maran dan Seri Jaya, Pahang.

Disebabkan PKP, urusan penghantaran dan penerimaan dibantu oleh Chin Chen dan mengedarkannya pada penduduk kawasan tersebut.

Adun Bilut, Lee Chin Chen bersama penerima bantuan sumbangan tilam dan bantal dari Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Pejabat DAP Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor dengan kerjasama Pertubuhan Sukarelawan dan Kebajikan Tulus (Tulus Volunteers) turut berusaha mengumpul sumbangan orang ramai berupa bekalan makanan kering untuk disampaikan kepada mangsa banjir di Pahang.

Begitulah antara bantuan dan sumbangan yang dihulurkan oleh wakil-wakil rakyat DAP di serata negeri kepada mangsa banjir di Pahang bagi meringankan beban mereka dalam meneruskan kehidupan.

Segala bantuan yang dihulurkan barangkali tidak mendapat tempat dalam portal-portal berita utama negara. Namun, sudah pasti segala bantuan yang diberi memberi sinar harapan buat mangsa banjir yang terkesan. – Roketkini.com