Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

‘Bila KSN, KP Kesihatan akan beri penerangan kepada pemimpin pembangkang?’

Oleh B. Suffian

Bilakah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan atau timbalannya akan memberikan penerangan kepada para pemimpin pembangkang mengenai situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini dan Proklamasi Darurat?

Persoalan itu dilontarkan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang hari ini susulan isu kehadiran pegawai kanan kerajaan dalam mesyuarat pemimpin parti kerajaan Nasional Perikatan (PN) sebelum ini. 

Beliau menambah, isu tersebut menunjukkan strategi dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” masih jauh, dalam perang melawan wabak Covid-19.

“Bilakah KSN, Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan atau timbalannya akan memberikan penerangan kepada para pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Shafie Apdal dan Mahathir Mohamad mengenai situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini dan proklamasi darurat…

“…atau adakah wabak Covid-19 ini hanya masalah yang perlu ditangani oleh kerajaan PN sahaja dan tidak memerlukan usaha bersama daripada pihak pembangkang dan rakyat? soalnya dalam satu kenyataan hari ini. 

Media hari ini melaporkan, ahli politik pembangkang mempersoalkan mengapa KSN dan penjawat awam lain terlibat dalam mesyuarat Majlis Presiden PN  yang berlangsung secara atas talian petang semalam. 

“Mesyuarat politik oleh PN melibatkan ketua setiausaha kerajaan,” kata Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang di Twitternya semalam. 

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam akaun Twitternya, pula menyifatkan tindakan melibatkan penjawat awam dalam mesyuarat politik sebagai tidak profesional. 

Mengulas lanjut, Kit Sang yang juga veteran DAP berkata, gelombang ketiga pandemik Covid-19 terus membadai negara ini selama empat bulan lamanya dan ia seharusnya ditangani lebih awal melalui strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

“Bilakah Kerajaan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) akan mengguna pakai strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam usaha menangani gelombang ketiga pandemik Covid-19 ini?

“Bilakah Parlimen akan dipanggil semula untuk menjadi pusat dan platform bagi strategi dan pendekatan seumpama itu?” soalnya lagi. – Roketkini.com

Baca kenyataan penuh Kit Siang di sini.