Berita, Isu Semasa

(DIKEMASKINI) DAP sumbang RM70,000 kepada Malaysiakini

Oleh Roketkini

Sebagai langkah solidariti, DAP hari ini menyumbangkan RM70,000 kepada Malaysiakini untuk membayar denda RM500,000 yang dikenakan terhadap portal berita tersebut. 

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengumumkan bahawa DAP menderma RM10,000 kepada Malaysiakini.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyumbang bagi membantu portal berita itu membayar denda tersebut demi kebebasan media di negara ini. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, sebagai tambahan, sebanyak 60 wakil rakyat DAP telah berjanji untuk menyumbang RM1,000 setiap seorang kepada Malaysiakini, menjadikan jumlah sumbangan keseluruhan DAP sebanyak RM70,000.

“Kami bersolidariti bersama rakan-rakan media di Malaysiakini. Malaysiakini telah memainkan peranan penting sebagai tiang keempat demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan Mkini Dotcom Sdn. Bhd. untuk membayar denda RM500,000 selepas mendapati syarikat itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca. – Roketkini.com