Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

DAP cadang tangguh PRU hingga 70% rakyat divaksin, demi keselamatan rakyat

Oleh Aziera NH

DAP menggesa Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menasihati Perdana Menteri agar menangguhkan pilihan raya sehingga lebih 70 peratus rakyat Malaysia divaksinasi dan imuniti kelompok dicapai.

Menerusi satu kenyataan hari ini, parti itu berkata, langkah tersebut adalah demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Kenyataan itu menambah, gesaan tersebut merupakan antara antara lima perkara utama yang perlu dipertimbangkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kejayaan pelaksanaan PICK adalah sesuatu yang sangat penting bukan sahaja untuk mengurangkan kejangkitan Covid-19, melindungi kesihatan rakyat, tetapi juga untuk memulihkan ekonomi negara dan kehidupan rakyat yang semakin parah.

“Kami menyeru agar kerajaan bersikap telus dalam menangani isu ini dan mendedahkan mana-mana pihak yang dibuktikan terlibat dengan kejadian ‘potong barisan’ untuk diberikan pengajaran kepada yang lain.

“Ia adalah penting bahawa dakwaan ini tidak dibiarkan tanpa sebarang tindakan untuk menjamin keyakinan dan kepercayaan rakyat dan untuk memastikan terdapatnya kesaksamaan vaksin dan kejayaan dalam PICK,” katanya kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi, Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, Dr Kelvin Yii; Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming; dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Jelas kenyataan itu lagi, kerajaan diharap dapat memperincikan secara spesifik kumpulan keutamaan untuk fasa kedua PICK, yang dijadualkan dibuka dalam masa kurang dari sebulan pada bulan April.

“Komunikasi dan koordinasi dengan pihak berkepentingan, pakar perubatan, klinik masyarakat dan rumah jagaan haruslah dipertingkatkan untuk memastikan semua kumpulan ini tidak ketinggalan dan diberikan maklumat yang betul tentang pentingnya mendapatkan vaksin,” tegasnya.

Sementara itu, pihak Kementerian juga disaran untuk merangka kerjasama yang komprehensif antara pihak awam dan swasta untuk bersama-sama menjayakan PICK dengan lebih cepat bagi mencapai target imuniti kelompok sehingga 70%.

“Anggota perubatan dari sektor swasta termasuk doktor gigi juga haruslah diberikan kutamaan vaksin dalam fasa 1 kerana doktor dari klinik swasta sering kali menjadi tempat rawatan pertama bagi pesakit bergejalan mahupun tidak bergejala,” katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, DAP turut menekankan bahawa penerangan yang efektif menjadi penentu kejayaan program imunisasi tersebut.

“Kami dari pihak DAP juga akan memberi kerjasama dan mengembleng tenaga semua wakil-wakil rakyat kami untuk membantu dalam komunikasi strategik tentang manfaat vaksin Covid-19, membanteras fahaman anti-vaksin dan koordinasi perlaksanaan imunisasi di kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.

“Oleh itu, kami berharap pihak kerajaan akan melibatkan kami secara terus termasuk menyediakan akses kepada sumber dan data yang ada untuk mengaktifkan kaedah “whole society approach” dalam memantau dan menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya lagi. – Roketkini.com