Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kartel polis: Guan Eng gesa PN segera tubuh RCI

Oleh Aziera NH

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Dirajaya (RCI) untuk menyiasat pendedahan mengejutkan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kewujudan ‘kartel’ polis.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, hanya RCI yang dapat membersihkan pasukan polis dari unsur-unsur korup dan menyelamatkan reputasi majoriti pegawai dan anggota polis yang tidak terlibat dalam kegiatan jahat tersebut.

Jika tidak, kata beliau, jelas bahawa Kerajaan PN tidak serius dalam memerangi korupsi dan jenayah, seperti pepatah ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.

“Rakyat Malaysia mahukan siasatan awam terbuka, bukan siasatan dalaman di mana kerisauan orang ramai tidak dapat diredakan.

“Sebarang kegagalan menubuhkan RCI untuk mengatasi masalah serius yang menimpa pasukan polis ini, hanya akan menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat dan hilangnya keyakinan terhadap profesionalisme, integriti, kebebasan dan kemampuan pasukan polis untuk memerangi jenayah.

“Ini akan menjadi ujian terbesar bagi komitmen Kerajaan PN untuk memerangi rasuah dan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hamid menerusi program ‘Sinar Live bersama IGP’ baru-baru ini dilaporkan sebagai mendakwa, wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bercita-cita untuk menjatuhkannya.

Abdul Hamid mendakwa gerakan itu juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mendakwa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sekali lagi menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan gagal melakukan tugasnya ketika beliau menolak permintaan agar RCI diadakan untuk menyiasat pendedahan berkenaan.

Menurutnya, Abdul Hamid telah mendedahkan kartel pegawai yang korup dalam pasukan polis, sehingga melibatkan seorang mantan KPN yang menerima wang suapan daripada sindiket jenayah.

“Bagaimana skandal ini dapat ditangani secara dalaman oleh Suruhanjaya Pasukan Polis, ketika ia dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri dan anggota ketika tindakan jenayah tersebut didakwa berlaku,” katanya.

Guan Eng berkata, ini bukan lagi masalah dalaman apabila seorang mantan KPN turut terpalit sehingga menerima wang suapan daripada sindiket jenayah. – Roketkini.com