Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Utamakan perbincangan pasport vaksin, pembukaan semula sempadan

Oleh B. Suffian

Kerajaan Malaysia dan Singapura digesa mengadakan perbincangan mengenai ‘pasport vaksin’ dan pembukaan semula sempadan sebagai agenda utama dalam pertemuan hari ini.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, aliran keluar masuk rakyat Malaysia-Singapura di sempadan adalah keutamaan utama dalam membangunkan ekonomi Johor.

“Ramai rakyat Johor dan Malaysia di negeri-negeri telah melakukan perjalanan untuk bekerja di Singapura sebelum sempadan ditutup.

“Terdapat ramai keluarga telah hidup berjauhan lebih setahun. Perniagaan di kawasan Johor Bahru juga bergantung kepada kehadiran pelawat dari Singapura.

“Dianggarkan untuk beberapa bulan akan datang, jumlah mereka yang menerima vaksin di kedua-dua buah negara akan bertambah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilaporkan bahawa kerajaan Malaysia akan berbincang dengan Menteri Luar Negeri Singapura, Dr. Vivian Balakrisnan yang mengadakan lawatan ke Malaysia hari ini mengenai kemungkinan adanya persetujuan bersama mengenai dokumen vaksinasi atau memiliki pasport vaksin yang dikeluarkan oleh kedua-dua buah negara.

Mengulas lanjut, Chin Tong memberitahu, perancangan untuk membuka semula sempadan harus dilakukan segera.

Menurutnya, segala keputusan perlu dimaklumkan kepada ratusan ribu orang yang terperangkap agar mereka mengetahui tindakan lanjut yang akan diambil seterusnya.

“Ini termasuk peniaga di kedua-dua belah negara agar mereka boleh melakukan persediaan lebih awal,” katanya. – Roketkini.com