Kenyataan Akhbar

Theatre Impian: Galeri Seni Kit Siang temui pengunjung 31 Mac 2021

Oleh Ghafar NS

Membaca tulisan-tulisan berkaitan veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang mungkin tidak cukup untuk mengenali serta menghayati perjalanan hidup, suka dan duka beliau dalam ranjau politik Malaysia.

Bermula 31 Mac 2021 ini, sebuah galeri seni yang mempamerkan sorotan hidup, impian, aspirasi dan perjuangan Lim Kit Siang akan dibuka kepada semua sempena ulang tahun ke-80 beliau pada tahun ini.

Menariknya, galeri yang dibuka di Theatre Impian, Bukit Jalil ini mengumpulkan 100 hasil karya seni seperti catan, lukisan, kaligrafi dan seni saduran daripada 80 orang pengkarya tempatan bagi memaparkan perjuangan tokoh politik tanah air ini sepanjang lebih daripada 55 tahun.

Masuk ke galeri ini seolah-olah kita masuk ke dalam perca-perca hidup tokoh berumur 80 tahun; keluarga yang selalu dekat di hati, ruang kerja tempat berbakti, cita-cita dan impiannya terhadap negara, sel-sel penjara tempat beliau ditahan, bersama teman, gabungan juga seteru politik, ketidakadilan yang terpaksa ditempuhi, kemenangan Pakatan Harapan, Langkah Sheraton serta banyak lagi kepingan kisah suka duka beliau yang dipamerkan di sini.

Kata William Shakespeare, “ada sejarah dalam hidup setiap manusia.”

Menyoroti hasil-hasil seni dalam pameran ini tidak hanya membuat kita memahami leluhur serta aspirasi beliau semata, tetapi membawa kita berjalan bersamanya dan langsung membuka mata tentang sejarah politik Malaysia yang panjang, dinamik juga dipenuhi onak duri.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua merangkap kurator bersama bagi projek ini menyatakan harapan serta tujuan pembukaan galeri seni ini, “kami berharap setiap pengunjung galeri ini, dapat belajar tentang sejarah, cabaran serta pengorbanan Kit Siang dan akhirnya terinspirasi untuk memainkan peranan mereka agar turut sama dalam pembinaan negara ke arah Malaysia yang lebih baik.”

Galeri ini akan dirasmikan pada 28 Mac 2021 dan dibuka untuk kunjungan orang ramai pada 31 Mac 2021 bermula jam 11:00 pagi sehingga 5:00 petang, pada setiap hari Selasa sehingga Sabtu.

Karya-karya seni yang dipamerkan turut dihasilkan oleh pengkarya-pengkarya seni hebat tempatan seperti Ahmad Zakii Anwar, Calvin Chua, Chong Siew Ying, Cheong Tuck Wai, Gan Tee Sheng, Jeganathan Ramachandram, Khairuddin Zainudin, Kow Leong Kiang, Yuki Tham dan sebuah catan unik daripada Tony Pua.

Lokasi pameran:
Theatre Impian, C-03-03 Aurora Place, Jalan Persiaran Jalil 1, 57000 Kuala Lumpur

Google Maps – https://goo.gl/maps/yJqSXymkf1D8M3TH9