Kenyataan Akhbar

Sungai Muda: DAP Sokong penuh sebarang tindakan undang-undang P. Pinang

Oleh B. Suffian

Hasrat Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor untuk mengurangkan bekalan air di Sungai Muda pasti akan dicabar di mahkamah untuk menegaskan semula prinsip perlembagaan bahawa Pulau Pinang berhak menerima aliran air semula jadi dalam kuantiti dan kualiti yang biasa.

Setiausaha gung DAP, Lim Guan Eng berkata, Muhammad Sanusi tidak boleh melupakan tugas undang-undangnya untuk tidak mengganggu serta mengusik aliran air Sungai Muda dan hak-hak riparian Pulau Pinang.

Sekiranya Muhammad Sanusi meneruskan ancamannya, kata Guan Eng, maka Pulau Pinang sebagai pemilik riparian boleh meminta ganti rugi atas segala gangguan yang mencemarkan, mempengaruhi kualiti dan kuantiti air di Sungai Muda.

“DAP menyokong penuh sebarang tindakan mahkamah oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi mencabar tindakan kejam tidak berperlembagaan Menteri Besar Kedah untuk mengurangkan bekalan air di Sungai Muda secara tidak sah dan memaksa 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk minum air selut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media pada 17 Mac melaporkan Menteri Besar Kedah itu membayangkan kemungkinan Pulau Pinang terpaksa menggunakan ‘air selut’ jika kerajaan negeri itu berkeras enggan membayar caj air mentah kepada Kedah kerana kerajaan Kedah sedang merancang beberapa projek yang dijangka memberi impak terhadap aliran air Sungai Muda, yang pada masa ini menjadi sumber air mentah Pulau Pinang.

Semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan menjelaskan kenyataannya itu bukanlah berbentuk satu ugutan sebaliknya, merupakan peringatan dan amaran awal kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandangkan negeri Kedah mempunyai beberapa projek yang mana memberi kesan besar kepada aliran air Sungai Muda.

Hari ini, dilaporkan, Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya kerajaan Kedah melaksanakan projek pembangunan yang boleh mengancam bekalan air negeri ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menambah, walaupun Muhammad Sanusi mengatakan bahawa kemungkinan rakyat Pulau Pinang meminum air selut hanyalah peringatan awal, ini jelas merupakan ancaman olehnya untuk membuli dan memaksa Pulau Pinang membayar caj air mentah kerana menggunakan Sungai Muda di pinggir sungai sebelah negeri Pulau Pinang.

Tegasnya, Muhammad Sanusi tidak bertanggungjawab kerana menggunakan taktik membuli seperti itu kerana membayar air di dalam sempadan Pulau Pinang adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

“Pertama, pelbagai perjanjian antara kedua-dua negeri dan juga Akta Perubahan Sempadan 1985 bagi Kedah dan Pulau Pinang telah memuktamadkan sempadan-sempadan yang telah diubah antara kedua-dua negeri utara ini. Selain dari Akta ini, doktrin undang-undang hak-hak riparian termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadual Kesembilan (Daftar Perundangan) menyenaraikan air, kawalan kelodak dan hak riparian adalah di bawah kuasa Negeri.

“Seorang pemilik riparian, sama ada pemilik tanah atau negeri seperti Pulau Pinang, memiliki hak yang tidak boleh dinafikan untuk menggunakan dan mengekstrak dari Sungai Muda ketika ia mengalir di dalam sempadan Pulau Pinang, di mana aliran sungai tidak boleh dimanipulasi, diubah atau dijajar semula secara tidak semula jadi.” katanya. – Roketkini.com