Uncategorized

Bersih 3.0: Titik mula sertai politik – Rara

Perhimpunan Bersih 3.0 yang berlangsung sembilan tahun lalu, pastinya membawa 1,001 kisah menarik kepada para peserta yang hadir.

Pada perhimpunan tersebut, puluhan ribu rakyat turun ke ibu kota bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Justeru, sempena ulang tahun kesembilan perhimpunan itu hari ini, Roketkini mengimbau kembali Bersih 3.0 bersama tidak lain tidak bukan, ‘Puteri Bersih’ itu sendiri iaitu YOUNG SYEFURA OTHMAN.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari itu menceritakan kisah penglibatan, kenangan dan kesan positif yang diperolehinya ekoran penyertaan dalam Bersih 3.0.

Sempena ulang tahun ke-9 Bersih 3.0 hari ini, boleh ceritakan sedikit bagaimana YB tertarik menyertai perhimpunan ini?

Saya mula ambil kisah tentang situasi politik negara selepas Bersih 2.0. Bersih 2.0 telah membuka mata saya tentang kerosakan sistem pilihan raya di Malaysia dan kekejaman pemerintah terhadap hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara. Tertarik menyertai Bersih 3.0 adalah bagi memastikan suara rakyat untuk mendesak pilihan raya yang bebas dan bersih didengari oleh kerajaan menuju PRU-13 ketika itu.

Young Syefura ketika menyertai Bersih 3.0, sembilan tahun lalu. Kini beliau ialah Adun Ketari.

Apa perasaan YB sebelum, ketika dan selepas menyertai perhimpunan ini?

Perasaan saya sebelum menyertai himpunan Bersih 3.0 saya sangat teruja, saya ingat lagi malam sebelum perhimpunan kami satu keluarga ke Taman Melewar Gombak untuk mendengar ucapan-ucapan dari pemimpin parti pembangkang ketika itu. Perasaan ketika perhimpunan juga sangat mengujakan kerana himpunan Bersih 3.0 pada ketika itu adalah himpunan pertama yang saya sertai dan keluarga turut bersama.

Dari situ saya melihat dengan jelas keinginan dan kemahuan rakyat yang mahukan perubahan negara ini ke arah yang lebih baik. Dari situ juga kita melihat pelbagai kaum, agama dan bangsa bersatu hati bersama-sama menyatakan pendirian mereka sebagai rakyat Malaysia. Perasaan selepas himpuan Bersih 3.0, saya sangat marah dengan apa yang terjadi kerana berlaku pergaduhan, campur tangan polis, penangkapan dan sebagainya. Sedih dengan apa yang berlaku maka dari situ datang semangat saya untuk meyertai dunia politik.

Apakah signifikannya perhimpunan ini kepada penglibatan politik YB?

Bersih 3.0 adalah perhimpunan Bersih yang pertama saya sertai. Apabila penyertaan saya ketika perhimpunan Bersih 3.0 menjadi viral, ia telah memberi peluang kepada saya untuk terlibat dengan aktivisme politik anak muda secara aktif.

Bagaimana perhimpunan seperti Bersih 3.0 membawa perubahan kepada negara secara keseluruhannya?

Bagi saya, perhimpunan Bersih 3.0 ketika itu telah membuka mata lebih ramai anak muda mengenai situasi politik dan amalan demokrasi di Malaysia. Bersih 3.0 adalah perhimpunan Bersih yang pertama dilakukan secara serentak di seluruh dunia.

Sudah tentu gelombang penolakan terhadap kekejaman pemerintah, salah tadbir Kerajaan dan sekatan amalan demokrasi ketika Bersih 3.0 diterjemahkan dalam PRU-13, di mana satu titik besar dalam sejarah politik Malaysia apabila pakatan pembangkang memenangi beberapa negeri dan lebih banyak kerusi di Parlimen. Gelombang ini membina gelombang seterusnya yang menghasilkan kejayaan pada PRU-14 dengan tumbangnya Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional buat kali pertama dalam sejarah Malaysia.

Kenapa anak muda perlu terus menyertai perhimpunan seumpama ini? Apa harapan YB kepada anak muda hari ini?

Anak muda perlu terus menyertai perhimpunan seumpama ini bagi memastikan suara mereka dapat didengari dengan jelas dan lantang oleh golongan ahli politik dan pemerintah. Sudah tentu objektif atau tuntutan sesuatu perhimpunan itu penting dan perlu diambil kira, tetapi apa yang lebih penting adalah bagi anak muda untuk mengetahui bahawa mereka sebagai warga Malaysia ada hak untuk bersuara, ada hak untuk berhimpun, ada hak untuk berbeza pendapat. Saya harap anak muda juga sedar bahawa ketika ini, mereka mempunyai kuasa di tangan mereka untuk membuat atau menggerakkan sesuatu perubahan dalam negara, termasuklah melalui perhimpunan seumpama ini.