Uncategorized

PN gagal angkat isu institusi kekeluargaan

Oleh Ghafar NS

Di manakah suara Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selepas tuntutan isu ketidaksamaan pemberian taraf kewarganegaran Malaysia dibangkitkan?

Demikian persoalan dilontarkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman dalam satu kenyataan hari ini.

“KPWKM di bawah Datuk Seri Dr. Wan Azizah dahulu pantas, beliau tanpa berlengah akan terus menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri dan proaktif melakukan libat urus bersama, bersesuaian dengan keprihatinannya untuk membela nasib mereka ini,” kata mereka menerusi kenyataan itu.

Kenyataan kedua-dua ahli Parlimen itu merujuk kepada kenyataan media Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & KL (Family Frontiers) bersama enam ibu warganegara Malaysia semalam, yang telah membuat tuntutan untuk mendapatkan deklarasi daripada mahkamah mengenai isu peruntukan kewarganegaraan Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Hannah dan Mohd. Azis, sebagai sebuah ‘kerajaan prihatin’, Menteri KPWKM dijangka akan segera tampil mempertahankan tuntutan para ibu tersebut selari dengan perjuangan kementerian di bawah kendaliannya.

Jelas mereka, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya menyatakan bahawa tuntutan tersebut adalah mengaibkan, menyusahkan dan remeh.

“Perjuangan mendapatkan hak kewarganegaraan untuk kanak-kanak adalah penting dan sesuatu yang perlu serta merupakan satu tugasan asas sebuah kerajaan yang prihatin malah ia jauh daripada menyusahkan dan remeh sebagaimana yang didakwa.

“Menamakan diri sebagai sebuah kerajaan prihatin tidak memadai tanpa disusuli dengan tindakan dan polisi yang mencerminkan nama tersebut,” tambah mereka lagi.

Media semalam melaporkan, Kerajaan Malaysia memohon Mahkamah Tinggi di sini supaya membatalkan saman yang difailkan oleh sebuah persatuan dan enam wanita yang berkahwin dengan warga asing, bagi membolehkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat hak menjadi warganegara Malaysia.

Antara alasan permohonan itu perlu dibatalkan adalah saman yang difailkan melalui saman pemula adalah suatu yang remeh serta menyalahgunakan proses mahkamah. – Roketkini.com