Uncategorized

Tubuhkan RCI segera, siasat dakwaan Hamid Bador – Gobind Singh

Oleh Ghafar NS

Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu segera ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan-dakwaan yang dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo mewakili DAP menggesa siasatan tersebut dilakukan segera kerana ia berkait dengan dakwaan serius seperti campur tangan politik dalam urusan pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM), kartel dan tindakan merasuah ahli politik untuk lompat parti.

“Pendedahan ini besar dan serius kerana memberi kesan negatif kepada PDRM serta RCI yang merupakan pasukan penguatkuasa penting dalam negara, malah rakyat juga bergantung kepada mereka untuk sebarang masalah,” ujarnya dalam ucapan perasmian Konvensyen Biasa Negeri DAP Johor 2021 di Batu Pahat pada 2 Mei 2021.

Soalnya, sekiranya wujud amalan kartel dan budaya rasuah, bagaimana rakyat akan yakin dengan sistem kepolisan di Malaysia?

“Apabila perkara ini dibangkitkan, kenyataan balas dikeluarkan kerajaan adalah perkara ini akan disiasat tetapi secara dalaman, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula menyatakan mereka yakin masalah ini boleh diselesaikan secara dalaman, tapi ini soal rasuah.

“Sekiranya dakwaan itu benar, maka kerajaan perlu ambil tindakan tegas, namun jika ia tidak benar, satu kenyataan rasmi perlu dikeluarkan dan tidak membiarkan perkara tersebut tergantung begitu sahaja,” tambah Ahli Parlimen Puchong itu lagi.

Sebelum ini, seluruh Malaysia dikejutkan dengan satu sidang media khas oleh Abdul Hamid Bador yang mendakwa wujud campur tangan politik dalam urusan pentadbiran PDRM.

Malah, dalam sidang media tersebut beliau turut menggesa  SPRM supaya berani menyiasat pemimpin politik yang menjadikan lompat parti sebagai satu budaya politik tidak sihat di Malaysia. – Roketkini.com