Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

KPM perlu segera umum SOP sekolah di Selangor di bawah PKP

Oleh Aziera NH

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) segera memperincikan prosedur operasi standard (SOP) bagi sekolah di Selangor yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 6 Mei sehingga 17 Mei.

“Adakah sekolah-sekolah di bawah kawasan PKP akan ditutup serta-merta atau ia akan diteruskan sehingga cuti Hari Raya bermula?

“Pengumuman dengan kadar segera perlu dilakukan oleh pihak KPM memandangkan ada sekolah-sekolah yang sedang melangsungkan peperiksaan pertengahan tahun,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah jawatankuasa itu lagi, pengumuman awal daripada KPM akan memudahkan urusan pihak sekolah menyusun semula jadual peperiksaan dan mengekalkan fokus para murid selain dapat membantu ibu bapa menyusun semula pengurusan keluarga mereka.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pendidikan PH juga menggesa KPM menjelaskan proses pergerakan murid pulang ke rumah dari asrama masing-masing.

“Adakah ibu bapa yang perlu mengambil anak mereka dari asrama akan diberikan pelepasan merentas daerah dan negeri sempena pelaksanaan PKP kali ini memandangkan PKP kali ini dikuatkuasakan di musim perayaan?” soal mereka.

Oleh itu, Jawatankuasa Pendidikan PH mencadangkan agar pihak sekolah diberi kuasa mengeluarkan surat makluman pengambilan anak di asrama sebagai bukti apabila merentas daerah dan negeri nanti.

“Penggunaan surat makluman itu membolehkan ibu bapa tidak perlu hadir ke balai polis untuk mendapatkan kelulusan rentas daerah dan negeri memandangkan ia mengambil masa yang lama,” kata mereka.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Pengerusi Pendidikan Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik dan jurucakap-jurucakap pendidikan parti iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Teo Nie Ching (DAP) serta Hasan Baharom (Amanah). – Roketkini.com