Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Malaysia perlukan mekanisme semak dan imbang terhadap kuasa pasukan polis

Kenyataan Media Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan merangkap ADUN Tanah Rata (Negeri Pahang) Chiong Yoke Kong pada 5 Mei 2021 (Rabu):

Sewaktu Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyerahkan jawatan, pasukan polis menjadi topik hangat di khalayak ramai akibat daripada pelbagai skandal didedahkan seperti penyalahgunaan kuasa, campur tangan politik, dan kematian dalam tahanan polis.

Demi mengelakkan penyalahgunaan kuasa, kuasa yang dimiliki oleh sesuatu pihak hendaklah dihadkan oleh kuasa yang lain. 

Dalam konteks pasukan polis, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) merupakan initiatif penting untuk mengatasi masalah pasukan polis secara menyeluruh. 

Walaupun Bekas Ketua Polis mendedahkan banyak skandal dalam pasukan polis, usaha beliau dijangka tidak dapat membawa perubahan drastik. 

Hal ini demikian kerana negara kita tidak memiliki mekanisme semak dan imbang (checks and balances) yang praktikal dan efektif untuk memperbaiki dan membetulkan segala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam pasukan polis.

Kemelut ini bermula ketika PH menjadi kerajaan, kerana parti-parti pembangkang terutamanya UMNO mengekang segala inisiatif pembaharuan dengan mengapi-apikan pasukan polis untuk menentang RUU IPCMC sehingga tidak dibentangkan di parlimen. 

Disebabkan tekanan dalaman, Bekas Ketua Polis juga menyeru agar kerajaan mendengar cadangan daripada pihak polis dan tidak membentangkan IPCMC secara tergesa-gesa.

Dalam zaman kerajaan PH, RUU IPCMC sebenarnya telah dijadual dibentang untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat oleh Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong pada 3 Disember 2019. 

Walau bagaimanapun, disebabkan oleh tekanan dan bantahan yang diapi-apikan oleh UMNO, kerajaan PH  terpaksa menarik balik dan hanya akan membentang semula RUU tersebut pada Mac 2020. 

Ketika itu, ketua pembangkang Ismail Sabri, kini merupakan Menteri Kanan Pertahanan sering kali mengapi-apikan emosi dalam pasukan polis dan di dalam parlimen agar memberi tekanan kepada PH untuk memberhentikan usaha membentangkan RUU IPCMC.

Tiga bulan selepas itu, kerajaan PH telah tumbang akibat daripada Langkah Sheraton, manakala RUU IPCMC turut ditarik balik. 

Maka, kerajaan PH tidak mampu meninggalkan legasi politik yang bersejarah dan berunsur reformasi, manakala peluang unuk melaksanakan pembaharuan dalam pasukan polis turut terbazir.

Berdasarkan RUU IPCMC yang dibentangkan oleh kerajaan PH, IPCMC perlu menubuhkan Lembaga Disiplin yang diberi kuasa mengambil tindakan berikut terhadap pegawai polis yang melakukan kesalahan: amaran, denda, pelucuthakan emolumen, penangguhan gaji, pengurangan gaji, pengurangan pangkat atau pemberhentian.

Malangnya, selepas merampas kuasa, Kerajaaan PN membentangkan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang diberi kuasa jauh lebih lemah berbanding dengan IPCMC kerana tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap anggota polis yang membuat salah laku.

Hakikatnya, kuasa pasukan polis merupakan mandat yang diberikan oleh rakyat dan undang-undang. Oleh itu, kuasa pasukan polis sememangnya perlu bertanggungjawab kepada rakyat dan menerima mekanisme semak dan seimbang daripada seluruh masyarakat.

PH seharusnya mempelajari sejarah dan mengutamakan IPCMC sebagai janji manifesto. Sekiranya PH berpeluang diberi mandat untuk mentadbir, kita mestilah membina mekanisme semak dan seimbang terhadap kuasa polis secara efektif dan melaksanakan agenda pembaharuan pasukan polis secara menyeluruh.