Uncategorized

Ahli Parlimen patut jadi teladan hormati sensitiviti jantina – Kit Siang

oleh Ghafar NS

Ahli-ahli Parlimen sepatutnya menjadi contoh kepada semua pelajar, dengan tidak menggunakan lawak lucah, tidak sopan dan bahasa yang tidak menghormati sensitiviti jantina semasa perbahasan Parlimen.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mengulas kenyataan anak muda Ain Husniza baru-baru ini yang mengatakan bahawa lawak lucah perlu ditangani dari dalam bilik darjah agar tidak dibawa ke Parlimen dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Veteran DAP itu, Parlimen telah beberapa kali menyaksikan kejadian-kejadian di mana kata-kata yang menyinggung perasaan ahli-ahli Parlimen wanita diutarakan lalu tidak dipandang serius;

Tahun 2007 – Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin dan ahli Parlimen Jasin, Mohd Said Yusof telah membuat kenyataan seksis terhadap ahli Parlimen DAP Batu Gajah, Fong Po Kuan di Dewan Rakyat semasa perbahasan mengenai penyelenggaraan yang tidak memuaskan di Parlimen yang menyebabkan kebocoran selepas hujan lebat. 

“Mana bocor? Batu Gajah pun bocor setiap bulan juga,” kata Bung mengenai Fong. 

Tahun 2015 – Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim terpaksa menarik semula satu lagi kenyataan seksis yang dibuat beliau dalam Dewan mengenai kitaran haid wanita. 

Tahun 2016 – Timbalan menteri ketika itu, Tajuddin Abdul Rahman telah membandingkan nama ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dengan bahagian sulit lelaki. 

Tahun 2020 – Abdul Azeez membuat kenyataan bersifat perkauman dan seksis terhadap ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto. 

“Adakah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Harun, mulai hari ini akan melawan penggunaan lawak lucah di Parlimen seperti yang dilakukan oleh Ain Husniza dalam melawan lawak lucah di dalam bilik darjah dengan penuh keberanian dan kepimpinan?” Soalnya.

Kit Siang juga berpendapat Parlimen sepatutnya menjadi contoh teladan dalam penggunaan kata-kata sopan dan lawak-lawak lucah perlu ditentang kuat oleh semua ahli Parlimen tanpa mengira latar belakang parti politik. – Roketkini.com