Berita

Kerajaan PN akhirnya akui gagal bendung Covid-19

Peningkatan kes Covid-19 di negara ini disebabkan kedegilan dan keangkuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil tindakan tegas dan berkesan berdasarkan sains dan fakta. 

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 ekoran kegagalan kerajaan dalam mengawal penularan wabak itu boleh dielakkan jika ujian saringan dilakukan secara besar-besaran pada peringkat awal. 

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri yang mengakui kegagalan kerajaan menangani wabak berkenaan sehingga memaksa pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0. 

“Terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri kerana mengakui kegagalan kerajaan Perikatan Nasional dalam menangani wabak Covid-19. 

“PKP 3.0 boleh dielakkan jika ujian saringan dilakukan secara besar-besaran pada peringkat awal,” ujarnya dalam kenyataan di Facebook, baru-baru ini. 

Majlis Keselamatan Negara seperti dimaklum Kementerian Kesihatan (KKM) menganggarkan kes positif harian Covid-19 boleh meningkat sehingga 5,000 dan terus melonjak kepada 10,000 kes seperti berlaku di India.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 2 Mei lalu berkata penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU Covid-19 di Lembah Klang secara keseluruhannya mencapai 90 peratus.

Untuk rekod, enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang diletakkan di bawah PKP  berkuat kuasa 6 Mei hingga 17 Mei, berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Sementara Kuala Lumpur dan daerah di Johor melibatkan Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi  dikenakan PKP bermula 7 Mei hingga 20 Mei. 

Mengulas lanjut, Chin Tong yang juga ahli dewan negara berkata kes Covid-19 di negara akan terus meningkat jika kerajaan masih keras kepala dan enggan berubah sikap.

“Ekonomi pula akan terus merudum. Rakyat akan bertambah sengsara,” tegasnya. — Roketkini.com