Berita

Guna MySejahtera, HIDE kaji semula larangan aktiviti sukan, riadah

Oleh B. Suffian

Pihak berkuasa diseru menggunakan data MySejahtera sebelum ini untuk mengenal pasti bilangan kluster yang disebabkan aktiviti joging dan bersenam luar rumah serta aktiviti menonton di pawagam dan bersenam di gimnasium.

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berkata, langkah ini ekoran penggunaan sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) ketika ini.

Menurutnya, jika bilangan kluster tidak besar maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu segera menarik semula larangan bagi aktiviti joging dan bersenam luar rumah dan membenarkan gimnasium dan pawagam untuk beroperasi dengan SOP yang ketat sedia ada.

“Perdana Menteri mengumumkan pada 17 Mac lalu bahwa satu pendekatan yang lebih bersasar untuk mengawal penularan virus Covid-19 akan digunakan, termasuk prosedur operasi standard (SOP).

“Malangnya, kita belum melihat ia diaplikasikan dalam pengumuman-pengumuman dasar bawah Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) 3.0,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah peraturan baharu, dilaporkan semua kegiatan sukan dan rekreasi di premis komersial atau kemudahan lain serta tempat awam dan terbuka digantung, sementara pawagam diarah tutup dan tempat makan hanya dihadkan untuk bungkus dan penghantaran.

Menurut Kian Ming, analisis sama juga perlu dijalankan oleh HIDE bagi aktiviti-aktiviti ekonomi lain seperti makan di restoran.

Jika ada restoran dan premis yang menjadi sumber kluster Covid-19 sebelum ini, ujarnya, tempat-tempat itu perlu disiasat dan ditutup sementara sekiranya tidak mematuhi SOP secara tegas.

Tegas beliau, adalah tidak masuk akal untuk mempunyai pendekatan ‘satu saiz muat semua’ apabila data log masuk MySejahtera telah sedia ada untuk pihak berkuasa dan sistem pengesanan kawawsan panas telah akhirnya dimajukan oleh pihak berkuasa.

“Sementara kita semua tidak dapat berlari (ketika ini), pihak berkuasa masih boleh menggunakan HIDE agar kita boleh berlari kembali, pada masa terdekat ini,” katanya. – Roketkini.com