Uncategorized

LCS: Kelewatan berpunca dari ketidakcekapan UMNO-BN

Oleh Roketkini

Tanggapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa siasatan merupakan punca kelewatan projek Littoral Combat Ship (LCS) langsung tidak tepat.

Mantan Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong dalam satu kenyataan bersama berkata, ini mencerminkan sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ambil mudah tentang integriti. 

Sebaliknya, apa-apa kelewatan yang dialami projek tersebut berpunca daripada ketidakcekapan dan ketiadaan integriti kerajaan UMNO-Barisan Nasional itu sendiri. 

”Kelewatan bermula sejak tahun 2015 lagi, dan berpunca daripada reka bentuk terperinci (detailed design) yang sehingga hari ini masih belum dimuktamadkan serta masalah kecairan kewangan Boustead Naval Shipyard (BNS) yang sedikit sebanyak terhasil daripada penyelewengan kewangan projek dan pengurusan projek yang tidak cekap,” kata kenyataan itu hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Ismail Sabri yang mendakwa Kerajaan PH menjadi penyebab kepada permasalahan projek LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau mendakwa, projek LCS TLDM hilang tuju selepas PH mengambil pucuk pimpinan negara selama 22 bulan kerana segala kerja terhenti disebabkan projek tersebut dipenuhi dengan siasatan.

Mengulas lanjut, kenyataan bersama itu menjelaskan, apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil tampuk kuasa, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai oleh Tan Sri Amrin Buang telah ditubuhkan untuk menyiasat pemasalahan dalam perolehan pertahanan. 

Tambahnya, siasatan telah diarahkan oleh Kabinet.

Hanya melalui Siasatan JKSTUPKK tegasnya, dapat kerajaan PH menemui punca-punca kelewatan tersebut.

”Daripada menuding jari, kami syorkan agar Ismail Sabri menerbitkan semua laporan-laporan JKSTUPKK tentang projek LCS dan bagi rakyat sendiri menilai,” katanya. – Roketkini.com

Baca kenyataan penuh: DI SINI