Berita

Insiden Parit Raja: Isyarat Parlimen perlu bersidang segera

Oleh B. Suffian

Insiden yang berlaku di Parit Raja, Batu Pahat, Johor sebelum ini memberi isyarat yang jelas bahawa Kerajaan Perikatan Nasional perlu membuka Parlimen segera dan tidak berselindung di sebalik ‘darurat’.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, di samping dakwaan ‘darurat melawan Covid’ yang dilihat tidak berkesan, kerajaan gagal mendengar keluhan rakyat di bawah.

“Sebenarnya, suara rakyat boleh diangkat menerusi wakil-wakilnya di parlimen. 

“Apabila kerajaan gagal melaksanakan nasihat Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan Parlimen boleh bersidang pada fasa darurat ini, banyak suara-suara rakyat marhaen tidak dapat diangkat kepada kerajaan menerusi saluran dewan rakyat. 

“Lebih ramai rakyat akan menggunakan saluran-saluran alternatif untuk menyampaikan hasrat dan luahan hati mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Media baru-baru ini  melaporkan, pihak polis menyiasat kejadian perhimpunan, membakar suar dan menaikkan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ dalam kejadian di Parit Raja. 

Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata, jika kerajaan terus ‘bodoh sombong’ dengan menyekat saluran demokrasi menerusi sidang Parlimen, rakyat marhaen akan memilih ruang demokratik yang lain. 

Menurutnya, ia untuk ekspresi dan luahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kegagalan kerajaan. 

Lihatlah sahaja di Parit Raja, ujarnya. 

“Bila hal ini terjadi, Kerajaan tidak patut menyalahkan orang. ‘U deserve’,” katanya. 

Jelas Sheikh Umar, Parlimen perlu dibuka semula dan bersidang segera.

Kata beliau, ini ketika keadaan ekonomi rakyat sedang sakit, dasar-dasar kerajaan tidak konsisten, double standard dalam banyak hal melibatkan pengurusan Covid-19, campur tangan dalam urusan perlantikan pihak polis dan banyak lagi isu lain yang timbul. – Roketkini.com