Oleh B. Suffian
Kerajaan digesa mempertimbangkan strategi pelbagai serampang baharu susulan apa yang terjadi pada pendaftaran vaksin AstraZeneca (AZ) secara sukarela sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof menggariskan tiga perkara yang perlu dilaksanakan secara seiring bagi menambah baik keberkesanan strategi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Situasi hura-hara dalam pendaftaran vaksin AstraZeneca secara sukarela semalam meningkatkan lagi kemarahan rakyat terhadap pelaksanaan program vaksinasi oleh kerajaan.
“Di sebalik apa yang terjadi semalam, timbul beberapa persoalan mengenai pelaksanaan PICK yang sudah masuk bulan keempat dan Fasa 2.
“Saya melihat ada tiga perkara yang perlu dilaksanakan secara seiring bagi menambah baik keberkesanan strategi PICK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Edry Faizal menambah, tiga perkara itu adalah:
- Masukkan kembali AZ dalam senarai PICK
Jelasnya, melalui dua fasa pendaftaran sukarela vaksin AZ, hampir 1.5 juta pendaftaran direkodkan.
Beliau berkata, ini dibandingkan dengan data Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sebelum ini berkenaan 8,000 orang membatalkan pendaftaran vaksin melalui PICK selepas mengetahui AZ adalah antara vaksin ditawarkan.
“Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) dan CITF patut menilai semula pembatalan tersebut dan menimbangkan dengan serius dan segera untuk memasukkan kembali vaksin AZ ke dalam PICK bagi menyegerakan pemberian vaksin kepada golongan berisiko,” katanya.
2. Berikan pilihan ‘opt in’ atau ‘opt out’ melalui MySejahtera
Seperti sistem pilihan masuk atau ‘opt in’ yang dilakukan pada vaksin AZ, jelas Edry Faizal, rakyat patut dibenarkan memilih untuk menolak sebarang vaksin yang dijadualkan kepada mereka, sehingga mereka dapat vaksin yang mereka mahukan.
Sistem ‘opt out’ tersebut kata beliau, juga dapat memudahkan kerajaan untuk melaksanakan sistem ‘opt in’ kepada senarai penerima seterusnya, tanpa perlu melalui proses pendaftaran yang kelam kabut seperti apa yang terjadi dengan pendaftaran sukarela AZ.
“Dengan peruntukan RM70 juta bagi tujuan membangun sistem Intergrasi Data dan Sistem Temu Janji, sistem ‘opt out’ dan sistem ‘opt in’ ini sepatutnya boleh dibangunkan dengan baik,” katanya.
3. Kaedah jumpa terus (walk In) untuk vaksin
Menurutnya, kerajaan sepatutnya menambah strategi bagi membenarkan vaksinasi secara terus atau ‘walk in’ di PPV terutamanya di kawasan luar bandar dan tumpuan kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas.
“Ini bukan sahaja dapat mengatasi kelemahan temu janji melalui MySejahtera malah mengurangkan jurang teknologi yang dihadapi oleh warga emas dan warga luar bandar.
“Ia juga mengurangkan pembaziran slot vaksin yang tidak dipenuhi oleh penerima yang gagal hadir dan seterusnya mempercepatkan proses imunisasi di seluruh negara,” katanya. – Roketkini.com