Isu Semasa

Pecat menteri, timbalan menteri tak ‘perform’

Oleh Aziera NH

Selain memotong gaji, kerajaan dicadang untuk memecat menteri dan timbalan menteri yang tidak menjalankan tugas dengan baik.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, langkah ini supaya dapat mengecilkan Kabinet yang sedia ada.

“Lebih afdal, pecat terus menteri atau timbalan yang tak peform (tidak jalankan tugas baik), susutkan Kabinet gergasi…

“Tak perlu tiga hingga empat orang ‘Timbalan Perdana Menteri’, lantikan politik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tak perlu gaji besar,” ciapnya di laman Twitter semalam.

Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata, seperti diamalkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu, barisan menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun.

Menurut Perdana Menteri, gaji yang tidak diambil itu akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.

Mengulas berhubung pengumuman itu, Steven berkata, tindakan tersebut patut dilakukan memandangkan rakyat sedang menderita akibat kesan ekonomi daripada penularan wabak Covid-19.

“Tapi jangan salah faham akaun bank depa tak masuk bulan ni, masih ada gaji MP (ahli Parlimen).

“Dan entah ada lagi elaun apa benda. Minyak kereta, tol, keraian semua dah ditanggung wang cukai,” kata Steven lagi.

Jelas Steven, rakyat tidak boleh membandingkan gaji ahli Parlimen pembangkang dan ahli Parlimen kerajaan kerana gaji ahli Parlimen pembangkang digunakan untuk menampung perkhidmatan di kawasan kerana tiada peruntukan disediakan.

“Gaji MP pembangkang kita guna untuk tampung perkhidmatan dekat kawasan sebab peruntukan tak ada. MP kerajaan, peruntukan berjuta-juta,” ujarnya.

Menurut Steven, ramai ahli Parlimen pembangkang memang sudah ‘dipotong’ gaji sejak setahun ini kerana mereka menggunakan sebahagian daripada gaji untuk menjalankan kerja-kerja perkhidmatan kawasan.

“Contoh di Bukit Mertajam, bantuan makanan, beli laptop atau tablet dan sebagainya. Semua kena tampung guna wang poket sendiri dan derma orang awam,” katanya lagi. – Roketkini.com