Rencana

Perkhidmatan PPV di Johor perlu diperkemaskan

Oleh Mohamad Shafwan dan Fakhrurrazi Rashid

(Pembantu Ahli Parlimen Kulai dan Koordinator Penyelidik Research For Social Advancement (REFSA))

Johor sudah memulakan pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi  Covid-19 kepada warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik. Hampir 26 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditubuhkan  di seluruh Johor setakat ini. Namun, terdapat beberapa isu yang mengenai perkhidmatan PPV yang didakwa tidak kondusif dan agak membebankan penerima vaksin.

Pada 27 Mei, berlaku kesesakan di PPV Dewan Jubli Intan Batu Pahat di mana terdapat warga emas beratur tunggu di luar dewan di bawah terik matahari. Meskipun ada kanopi di sediakan, namun ia tidak cukup menampung jumlah kehadiran di PPV Batu Pahat yang agak ramai. Masalah ini telah dilaporkan  oleh YB Gan Peck Cheng, ADUN Penggaram di laman sosialnya.

Isu yang sama turut berlaku di PPV Dewan Bandar Putra, Kulai pada 29 Mei apabila penerima vaksin yang terdiri daripada warga emas terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran mendapatkan vaksin.

Kelemahan teknikal ini akan menjadi punca orang ramai cuai atau tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti membuat penjarakan fizikal di PPV. Keadaan ini akan mendatangkan risiko tinggi  kepada golongan warga emas dan berpenyakit kronik.  

Rakyat yang hadir dan melihat isu ini di media sosial sudah mula bimbang akan keadaan PPV yang agak sesak dan perkhidmatan yang kurang baik. Ada juga yang memberikan pandangan bahawa kebanyakan PPV terletak di bandar dan ia menyukarkan mereka yang berada di luar bandar kerana ia mengambil masa yang lama untuk sampai ke sana serta pembiayaan kos.

Jadi, apakah langkah yang boleh diambil pihak kerajaan negeri dan pusat dalam isu ini?

Salah satu kaedah untuk melancarkan perkhidmatan PPV adalah menggunakan fasiliti dan tempat yang lebih kondusif dan strategi dalam pemberian vaksin seperti sekolah di setiap daerah dan mukim. Pendekatan ini lebih berkesan dan memudahkan orang awam mendapatkan vaksin memandangkan lokasinya berdekatan dengan tempat tinggal mereka, khususnya di kawasan luar bandar.

Memandangkan sekolah-sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT)  di seluruh Malaysia tutup dan pembelajaran dilakukan atas talian, maka ia amat sesuai digunakan sebagai PPV di Johor.

Malah, keadaan di sekolah lebih kondusif dan selesa kerana ada kemudahan seperti kerusi dan kipas di dalam kelas atau dewan yang boleh dijadikan tempat menunggu orang awam.  Perkara ini lebih baik berbanding membiarkan orang awam beratur panjang di bahu jalan untuk pergi ke dewan PPV.

Kerajaan pusat dan negeri tidak sepatutnya  copy and paste model perkhidmatan PPV seperti di Putrajaya dan Kuala Lumpur yang menekankan penggunaan dewan mega dan besar untuk menggerakkan PPV di Johor.  Pihak berwajib perlu mementingkan lokasi PPV berdasarkan lokaliti,daerah, dan mukim di Johor berbanding mengumpulkan seluruh pemberian vaksin di bandar atau satu lokasi sahaja yang boleh menyebabkan risiko penularan wabak.  

Dari sudut yang lain, perancangan seperti ini mampu menambah lebih banyak PPV di Johor dan mempercepatkan proses pemberian vaksin. Pendekatan ini juga dapat meningkatkan peratusan kadar vaksinasi negeri Johor  yang masih rendah iaitu sekitar 6.19 peratus kepada populasi berbanding Kedah (7.17 peratus), Negeri Sembilan (8.9 peratus), dan Kelantan (7.03 peratus) setakat 29 Mei 2021.

Selain itu, kerajaan negeri Johor perlu melaksanakan saringan Covid-19 secara percuma dan besar-besaran bagi mengenal pasti individu yang menjadi silent carrier atau pembawa Covid-19 tanpa menunjukkan sebarang simptom di dalam komuniti. Ujian saringan secara besar-besaran boleh mengatasi penularan vaksin lebih teruk di Johor.

Penting juga kerajaan negeri menambah kekerapan pengangkutan awam di seluruh Johor bagi memudahkan rakyat pergi ke PPV, terutamanya mereka di kawasan yang berjauhan dengan bandar. Cara ini juga dapat memudahkan orang awam merancang perjalanan mereka dan mengelakkan berlakunya kesesakan kenderaan dan mengganggu trafik di lokasi PPV sekitar Johor.

Kerajaan Johor dan pusat perlu menggunakan pendekatan menyeluruh masyarakat (whole society approach) untuk melancarkan perkhidmatan PPV. Khidmat pemimpin masyarakat tempatan seperti Ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Masjid, Persatuan Belia dan Wanita di Johor boleh digerakkan sebagai sukarelawan untuk membantu tugas-tugas agensi kerajaan di PPV berdasarkan lokaliti, daerah, mahupun mukim.  

Dengan pengalaman pemimpin tempatan, ia juga memudahkan dan merapatkan jurang komunikasi antara pihak berwajib dan masyarakat, khususnya di luar bandar, dalam proses penerimaan dan kefahaman vaksin berdasarkan bahasa ‘mudah’ orang tempatan yang gagal difahami pihak kerajaan pusat.

Perancangan untuk menambah baik perkhidmatan PPV di Johor perlu dilakukan dengan segera kerajaan pusat dan negeri memandangkan fasa penerimaan vaksin seterusnya akan menyaksikan penambahan kehadiran orang awam di PPV bagi mendapatkan vaksin.

Ia adalah jalan terbaik setakat ini untuk mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok di Johor menjelang akhir 2021 seperti yang dirancang kerajaan  negeri. Ekonomi Johor juga akan segera pulih dan berjalan seperti biasa apabila lebih ramai bangsa Johor telah divaksin bagi mengurangkan risiko dijangkiti wabak pandemik ketika melakukan kegiatan ekonomi. – Roketkini.com