Berita, Kenyataan Akhbar

Jawatankuasa Undang-undang PH buat pemeriksaan terperinci peraturan di bawah Ordinan Darurat

Oleh Ghafar NS

Jawatankuasa Undang-undang Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk pada 24 Mei 2021 berpendapat lunas undang-undang tetap perlu ditegakkan meskipun ketika darurat kesihatan awam.

Menurut jawatankuasa ini, pemantauan dan pengawasan terhadap Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) 2021, dan Ordinan 2021 Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (No. 2) dan Pencegahan dan Pengendalian Akta Penyakit Berjangkit 1988 amat penting kerana tugas Parlimen sebagai agen semak dan imbang kini sudah pun terhalang.

“Pemeriksaan terperinci terhadap enakmen, peraturan, perintah dan arahan yang dikeluarkan di bawah Ordinan Darurat akan dijalankan.” Ulas mereka dalam satu kenyataan bersama ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh; ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dan ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, hari ini.

Antara perkara penting yang menjadi kerisauan utama Jawatankuasa Undang-undang Pakatan Harapan;

1. Keadaan yang sentiasa berubah dan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) berbeza yang dikeluarkan dari semasa ke semasa menimbulkan kekeliruan dan tidak ditegakkan secara seragam terhadap semua golongan rakyat;

2. Hukuman amat berat akibat pelanggaran SOP tersebut dalam bentuk denda besar dari RM10,000 untuk individu hingga RM50,000 untuk syarikat dan penjara yang sama sekali tidak sesuai dengan objektif dan sifat SOP tersebut; dan

3. Amaran baru-baru ini yang dikeluarkan oleh Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) tidak adil dan tidak masuk akal bagi pemilik perniagaan premis dan pusat membeli-belah.

“Hukuman pelanggaran SOP itu cukup berat dan serius, pihak Jawatankuasa ingin menyeru kepada kerajaan Malaysia untuk melakukan semakan semula terhadap senarai SOP yang telah pun ditetapkan.

“Ia sepatutnya selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan keperluan undang-undang seperti kepastian (certainty) yang boleh untuk diakses oleh rakyat, difahami, jelas dan adil.” Tambah kenyataan itu lagi.

Kenyataan tersebut juga menyebut bahawa SOP yang jelas dan ringkas serta ditegakkan secara seragam adalah mustahak, terutamanya dalam situasi ‘total lockdown’ kini.

“Pihak jawatankuasa ini akan berusaha memastikan matlamat tersebut dicapai.” Tegas mereka – Roketkini.com