Kenyataan Akhbar

Baiki sistem pendaftaran vaksin di laman web JKJAV segera

Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi pada 9hb Jun 2021 (Rabu): 

Ketika negara menghadapi krisis dan pada masa kerajaan cuba meningkatkan kadar vaksinisasi di seluruh negara, masalah teknikal di laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melibatkan sistem pendaftaran vaksin tidak seharusnya berlaku. 

Malah, lebih mengecewakan lagi ialah, Menteri yang bertanggungjawab ke atas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merupakan Menteri yang memegang portfolio sains, teknologi dan inovasi. 

Sebelum ini sudah berkali-kali berlaku masalah teknikal dalam pendaftaran vaksin AstraZaneca semasa pendaftaran untuk warga Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Malangnya, kerajaan nampaknya belum belajar dari pengalaman pahit tersebut kerana pengguna sistem pendaftaran laman web JKJAV masih lagi mengalami masalah teknikal apabila mereka cuba mendaftar atau membuat semakan di laman web tersebut. 

Baru-baru ini, pejabat saya mendapati bahawa pendaftaran baru tidak dapat dihantar kerana tiada respon langsung daripada laman web tersebut selepas kami mengisi butiran pemohon. Malah, kami terus dimaklumkan bahawa sistem telah tergendala apabila cuba membuat semakan terhadap permohonan lama. 

Selain itu, masih berlaku kes di mana individu diberi temu janji vaksin di negeri lain walaupun sudah mengemaskini beberapa kali alamat mereka. Contohnya, ada seorang penduduk Kluang yang telah mendapat temu janji vaksin di Sabah, dan selepas kami membantunya mengemaskini rekod melalui “Helpdesk” Mysejahtera, dia diberi temu janji vaksin di Kuala Lumpur pula. 

Saya juga menerima aduan di mana temu janji vaksin telah diberikan dalam Mysejahtera tetapi tidak ditemui dalam laman web JKJAV, ataupun sebaliknya. Dalam beberapa kes, ada juga yang mendakwa bahawa temu janji yang telah diberikan dalam sistem kemudiannya telah dipadamkan. 

Pusat khidmat saya sedang berusaha untuk membantu mendaftarkan orang awam untuk mengambil bahagian dalam PICK. Namun, masalah teknikal remeh-temeh seperti ini telah mengganggu usaha kami dan membantutkan kempen menggalakkan vaksinisasi.

Rakyat Malaysia tidak meminta perkara yang melampau daripada kerajaan Perikatan Nasional. Mereka yang telah mendaftar dalam PICK hanya berharap mereka boleh menerima vaksin secepat mungkin dan kehidupan kita kembali menjadi normal. Masalah-masalah teknikal seperti yang disebut di atas tidak harus berlaku sama sekali. Saya menggesa Menteri MOSTI menyelesaikan masalah remeh-temeh ini dengan segera.