Berita

Wakil rakyat DAP anjur pelbagai inisiatif bantu rakyat memerlukan

Wakil rakyat DAP terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan yang memerlukan.

Adun Ketari, Young Syefura Othman antaranya meneruskan inisiatif #BegKetariku di kawasan DUN berkenaan.

Meskipun berdepan sekatan pergerakan penuh, ia tidak mematahkan semangat pemimpin muda DAP itu untuk turun padang membantu rakyat.

“Kali ini Pusat Khidmat DUN Ketari perlu menunggu beberapa hari untuk mendapatkan kebenaran mengedarkan #BegKetariku, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandangkan kini Bentong berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Permohonan dibuat ke Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Bentong.

“Kami menjangkakan edaran seterusnya juga perlu melalui proses yang sama sehingga PKPD ditamatkan di daerah Bentong dan akan menghadapi kelewatan sedikit.

“Namun begitu kepada mereka yang memerlukan bantuan #BegKetariku dan juga bantuan #LampinBayiKetariku, masih boleh menghubungi wakil Pusat Khidmat DUN Ketari,” ujarnya di Facebook.

Sementara itu, Pasukan Sanitasi Awam Unit Tindak DAP Negeri Sembilan telah menjalankan sanitasi awam di sekitar DUN Bukit Kepayang khususnya, Bukit Galena, Taman Jasper Jaya, Tamandan Labu Jaya dan Taman Koop.

Menurut Ahli Parlimen Seremban merangkap Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke, usaha murni berkenaan disambut baik oleh penduduk tempatan.

“Kami dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah bahawa keberkesanan sanitasi awam akan dapat ditingkatkan sekiranya dibuat di tempat kunjungan ramai setiap minggu.

“Kami memerlukan lebih ramai sukarelawan bagi menjayakan sanitasi awam ini.

“Oleh itu, kami galakkan NGO, persatuan penduduk, krt dan MPKK di Daerah Seremban menyertai kami bagi menjalankan sanitasi awam di komuniti masing-masing,” ujarnya di Facebook.

Katanya lagi, Pusat khidmat Rakyat Ahli Parlimen Seremban akan menyumbangkan peralatan dan bahan kimia bagi mereka yang berminat untuk menjalankan sanitasi awam di taman perumahan masing-masing.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pula menyerahkan cek sumbangan wang dan bakul makanan kepada Puan Mogana di Rumah Pangsa Butterworth, kawasan Parlimen Bagan.

Puan Mogana merupakan mangsa kebakaran yang sebahagian rumahnya musnah dalam kejadian kebakaran baru-baru ini.

“Disebabkan penularan wabak Covid-19, keluarga beliau berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan untuk membaik pulih kerosakan rumah.

“Kos pembaikan agak tinggi, ditambah pula empat orang anak Pn. Mogana masih bersekolah. Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga beliau,” ujarnya. — Roketkini.com