Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kerajaan takut hilang kuasa, rakyat sengsara – Hannah Yeoh

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh membidas tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tanpa pengumuman bantuan kewangan secara menyeluruh.

Menurut Hannah, tindakan kerajaan tersebut adalah sangat tidak bertanggungjawab.

“Kita hampir sahaja tidak dapat bertahan dengan perlaksanaan total lockdown selama dua minggu namun kerajaan mengumumkan lanjutan yang bertujuan untuk menurunkan kes positif Covid-19 yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan.

“Kita mahu kerajaan tidak bersikap seperti warden penjara, meletakkan rakyat dalam penjara di rumah mereka.

“(Ini) …seakan menjatuhkan hukuman sedangkan kes Covid-19 yang meningkat disumbang oleh ketidakcekapan Kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang mengelirukan, bercanggah dan tidak masuk akal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Hannah, rakyat Malaysia amat berharap Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bantuan kewangan segera yang boleh membantu rakyat Malaysia mengatasi masalah tersebut.

“Tetapi ini tidak berlaku. Berapa banyak kampit beras yang dapat kita terus berikan? Berapa banyak lagi bakul makanan untuk diedarkan dan berapa minggu lagi yang mampu kita lakukan?” soalnya.

Tambah Hannah, kerajaan banyak memfokuskan kepada golongan B40 sahaja dan hampir tiada apa-apa untuk golongan M40 yang berada dalam industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kini kita hanya bercakap soal kelangsungan hidup. Tumpuan kita sekarang adalah bagaimana untuk mengelak lebih ramai orang hilang pekerjaan dan perniagaan tidak terjejas sehingga terpaksa menutup kedai.

“Kerajaan hari ini cuma menjadi penonton, tidak proaktif dan hanya mahu tunggu dan lihat. PKS kini berada di peringkat terakhir mereka untuk meminta pertolongan,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya, memandangkan Majlis Raja-Raja akan bermesyuarat pada minggu hadapan, beliau amat berharap agar penderitaan rakyat akan berakhir dengan memendekkan tempoh pentadbiran Kerajaan PN. – Roketkini.com