Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Wan Saiful sila turun padang, tak perlu gertak rakyat. – Sheikh Umar

Oleh Ghafar NS

Adun Paloh, Sheikh Umar Baghrib Ali merangkap Ketua Pemuda DAP Johor bertanya kepada Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan semalam, atas kapasiti apa beliau meminta kerajaan tetapkan tarikh tutup pendaftaran program vaksinasi Covid-19?

Ini merujuk kepada kenyataan Wan Saiful yang dilaporkan Malaysiakini pada 13 Jun 2021 yang meminta kerajaan menetapkan tarikh tutup pendaftaran vaksin yang katanya bagi mengelakkan orang ramai mengambil sikap sambil lewa dan bersegera mendaftar.

“Wan Saiful janganlah menunding jari dan asyik menyalahkan rakyat yang menghadapi pelbagai kekangan hidup, tapi tetap ramai yang berusaha agar dapat divaksin segera.

“Kerajaan sepatutnya memudahkan urusan vaksinasi ini dan bukannya mengambil pendekatan seolah-olah mahu menggertak rakyat.” Kata Sheikh Umar yang juga merupakan Naib Pengerusi DAP Johor.

Sheikh Umar turut berkongsi situasi program vaksinasi di Paloh apabila dalam masa enam jam sahaja katanya, 500 dos suntikan berjaya diberikan.

Pun begitu katanya, ramai lagi yang berharap dapat divaksin tetapi tidak berjaya kerana jumlah vaksin yang terhad.

“Proses pemberian vaksin sepatutnya dipermudahkan lagi, contohnya ada warga emas berumur dalam lingkungan 80 tahun telah mendaftar sejak Mac, perlu kerap membuka MySejahtera kerana takut terlepas tarikh temu janji,” tambahnya lagi.

Menurut Sheikh Umar lagi, Wan Saiful boleh turun padang dan meninjau dengan mata kepala sendiri betapa sebenarnya rakyat bersungguh-sungguh mahu mendapatkan vaksin.

“Menetapkan tarikh tutup pendaftaran ini dasar yang tidak berpandukan sains dan bukti,” katanya. – Roketkini.com