Berita

381 PPV perlu dipertambah 2,000 lagi – Guan Eng

Oleh B. Suffian

Sekiranya PN serius untuk mencapai sasaran 150,000 dos harian vaksin Covid-19 bagi memperoleh imuniti kelompok menjelang 31 Disember, 381 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ada perlu ditambah sebanyak 2,000 PPV lagi. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, hanya 124,618 dan 133,804 dos vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara masing-masing pada 11 dan 12 Jun lalu.

Menurut beliau, ini walaupun sasaran harian 150,000 dos ditetapkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin. 

“Setakat 11 Jun, sejumlah 1.30 juta rakyat Malaysia telah diberi vaksin sepenuhnya, sementara 1.63 juta orang hanya mendapat satu dos. 

“Malaysia masih jauh lagi untuk mencapai imuniti kelompok 80 peratus daripada 32.72 juta penduduk Malaysia, yang memerlukan 26.18 juta orang diberi vaksin. 

“Bagi mencapai imuniti kelompok menjelang 31 Disember, Khairy telah menetapkan sasaran 150,000 dos harian pada bulan Jun, 200,000 dos harian pada bulan Julai dan 300,000 dos harian pada bulan Ogos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Selain dari masalah bekalan vaksin yang tersedia, Guan Eng menambah, salah satu cabaran yang boleh menyebabkan kegagalan berulang dalam mencapai 150,000 dos harian yang disasarkan pada bulan Jun, 200,000 dos harian pada bulan Julai dan 300,000 dos harian pada bulan Ogos, adalah bilangan kecil Pusat Pemberian Vaksin (PPV). 

“Bagaimana dengan hanya 381 PPV di seluruh negara kita dapat menjayakan vaksinasi untuk 26.18 juta rakyat Malaysia atau purata hampir 70,000 orang yang diproses oleh setiap PPV? 

“Ini meletakkan beban yang terlalu tinggi kepada 381 PPV yang ada,” katanya. 

Guan Eng menjelaskan, perlu ada penambahan sekurang-kurangnya 2,000 PPV kepada 381 yang sedia ada di seluruh negara, supaya setiap PPV dapat memproses 10,000 orang menerima vaksin dengan cepat dan lancar dalam tempoh kritikal ini untuk mencapai imuniti kelompok. 

“DAP mendesak Kerajaan PN untuk bertindak segera dengan mewartakan semua klinik kesihatan kerajaan dan klinik swasta yang sesuai sebagai PPV. 

“Ini bagi memastikan vaksinasi tersedia, mudah diakses dan mampu dicapai oleh semua rakyat Malaysia, terutama di kawasan luar bandar,” katanya. – Roketkini.com