Berita

Cadang sistem MySejahtera bolehkan warga emas pilih PPV

Oleh B. Suffian

Kerajaan wajar memperbaiki sistem temu janji untuk vaksin Covid-19, kata Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong. 

Beliau berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada warga emas mengenai janji temu suntikan vaksin mereka.

Menurutnya, aduan mereka adalah kerana diminta untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang jauh walaupun terdapat PPV lebih dekat dengan mereka.

“Contohnya, terdapat seorang warga emas yang tinggal di Jalan Tun Sri Lanang, tetapi telah diminta untuk pergi ke PPV di Sungai Udang yang sejauh 22 kilometer (km). 

“Namun, terdapat sebuah PPV yang lebih dekat dengan beliau, iaitu PPV di Dewan Hang Tuah yang terletak 1 km dari rumah beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Jelas Poay Tiong, masalah itu adalah antara satu sebabnya mengapa terdapat warga emas yang tidak dapat hadir untuk janji temu mereka kerana ada yang tinggal berseorangan dan tiada pengangkutan.

Tambahnya, beliau tidak pasti apakah kaedah yang digunakan oleh sistem MySejahtera untuk menetapkan janji temu. 

“Kemungkinan ia dilakukan secara automatik melalui komputer mengikut kriteria-kriteria tertentu, ataupun ia dikendalikan oleh pegawai bukan tempatan,” katanya. 

Ujarnya, cadangan beliau adalah supaya sistem tersebut diperbaiki supaya warga emas boleh diperuntukkan PPV yang paling dekat dengan rumah mereka. 

Beliau menjelaskan, adalah lebih baik jika sistem MySejahtera boleh memberi pilihan kepada warga emas untuk memilih PPV yang paling sesuai untuk mereka. 

“Jika warga emas yang terkesan perlu mengemukakan penukaran melalui sistem MySejahtera, permohonan tersebut hendaklah dikemaskini dalam tempoh 7 hari,” katanya. – Roketkini.com