Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Pelan Pemulihan Nasional: Satu lagi simbol kegagalan PN

Oleh Ghafar NS

Semalam Kerajaan Perikatan Nasional sekali lagi membuktikan bahawa mereka adalah sebuah #KerajaanGagal apabila Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin mengumumkan Pelan Pemulihan Nasional yang hanya menawarkan garis panduan untuk negara beralih dari satu fasa ke fasa lain.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini bertanya, bagaimana garis panduan ini dapat membantu negara mengurangkan jumlah kematian dan kes jangkitan harian yang menjadikan Malaysia antara negara paling teruk terjejas di dunia?

“Tidak ada Pelan Pemulihan Nasional sama sekali dan rakyat Malaysia kecewa kerana tiada pakej bantuan kewangan baharu untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian,” kata Guan Eng yang juga merupakan ahli Parlimen Bagan.

Menurutnya juga Parlimen perlu segera bersidang segera kerana tidak ada kes Covid-19 harian baru dalam kalangan ahli Parlimen, tiada seorang ahli Parlimen pun yang sedang dirawat di ICU, malah semuanya telah divaksin.

Maka kata Guan Eng, tidak perlulah ia dibuka lewat pada Fasa 3 seperti kenyataan Mahiaddin kerana semua ahli Parlimen memenuhi kriteria-kriteria yang membolehkan Parlimen segera bersidang dan membahaskan isu rakyat serta negara.

“Ini bukan Pelan Pemulihan Nasional untuk Covid-19, tetapi satu Plot Politik Nasional untuk menghalang pembukaan segera Parlimen kerana jelas Mahiaddin tidak mahu mengambil risiko yang akan mendedahkan bahawa beliau telah kehilangan majoriti Parlimen.” Kata Guan Eng lagi. – Roketkini.com