Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Enggan panggil sidang Parlimen, Kabinet Muhyiddin salah guna kuasa

Kenyataan Media Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan pada 20 Jun 2021

Keengganan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kabinet untuk memanggil sidang Parlimen dalam kadar segera sepertimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu adalah satu salah guna kuasa.

Tiada alasan munasabah dalam menolak memanggil sidang Parlimen segera. Alasan melengahkan persidangan Parlimen sehingga bulan September tidak boleh diterima sama sekali. Ia adalah satu taktik melengah-lengahkan yang merupakan satu penolakan salah. Ini adalah kerana kesemua 220 Ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen telah menerima vaksin. Maka, tiada lagi bahaya jangkitan Covid-19.

Penolakan kabinet untuk memanggil sidang Parlimen adalah satu tindakan menghalang Parlimen menjalankan tugas sah membincangkan perbelanjaan kerajaan berkaitan isu pandemik COVID-19, program pemulihan ekonomi dan proses vaksinasi.

Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan meletakkan Perdana Menteri dan kabinetnya mempunyai tanggungjawab bersama terhadap Parlimen. Prinsip tanggungjawab bersama Perdana Menteri dan kabinetnya dan akauntabiliti terhadap Parlimen merupakan perkara asas Perlembagaan Persekutuan. Keengganan kabinet memanggil sidang Parlimen dengan segera merendah-rendahkan prinsip akauntabiliti terhadap Parlimen.

Perdana Menteri dan kabinet perlu bersikap akauntabiliti terhadap Parlimen di mana mereka tertakluk kepada pemeriksaan dan soal selidik oleh wakil rakyat. Badan eksekutif perlu melaporkan, menjelaskan dan mempertahankan segala tindakan mereka di Parlimen dan dengan cara ini, rakyat dilindungi daripada salah guna kuasa oleh badan eksekutif. Semakin lama Parlimen digantung, semakin besar risiko wujudnya kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

Pada masa yang sama, YDPA sebagai raja berperlembagaan adalah sebahagian daripada institusi Parlimen bersama dengan 2 dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara (Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan) dan oleh itu fungsi Parlimen perlulah dipelihara dalam tatakelola negara.

Penolakan untuk menamatkan darurat dan memanggil segera sidang Parlimen oleh Perdana Menteri dan kabinetnya adalah satu penderhakaan kepada dekri YDPA dan satu penghinaan kepada institusi YDPA, Majlis Raja-raja Melayu dan Parlimen.

Isu penamatan darurat dan persidangan segera Parlimen adalah perkara asas yang penting kepada keluhuran undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keadaan ini, kami merayu YDPA dalam melaksanakan budibicara baginda menurut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk mengesahkan samaada keingkaran Perdana Menteri ini disokong oleh majoriti Ahli Parlimen. Sekiranya Perdana Menteri tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka adalah jelas bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat keyakinan majoriti yang mewajarkan YDPA melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan meminta Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI

Ahli Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan:

YB William Leong Jee Keen (KEADILAN, Selayang)

YB Mohamed Hanipa Maidin (AMANAH, Sepang)

YB Ramkarpal Singh A/L Karpal Singh (DAP, Bukit Gelugor)

YB Sivarasa Rasiah (KEADILAN, Sungai Buloh)

YB Muhammad Faiz Fadzil (AMANAH, Permatang Pasir)

YBhg Fadhlina Sidek (KEADILAN)

YBhg Dr Zulqarnain Lukman (AMANAH)