Berita

Utamakan 2 strategi demi kelangsungan ekonomi, keyakinan pelabur

Oleh B. Suffian

Selain usaha vaksinasi, Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan memberi keutamaan dan melabur dalam dua strategi utama demi kelangsungan kegiatan ekonomi dan mengembalikan keyakinan pelabur dalam keadaan norma baharu.

Jawatankuasa Ekonomi PH dalam satu kenyataan memberitahu, dua strategi utama itu adalah:

  1. Meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam
  2. Mewujudkan ruang kerja kalis pandemik untuk memastikan kesinambungan kegiatan ekonomi

“Kerajaan harus meningkatkan kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan negara khususnya dalam mendepani wabak Covid-19 dan variannya. 

“Ini termasuklah bekerjasama dengan sektor swasta sebagai sebahagian daripada pendekatan ‘whole of society’ dalam usaha melawan wabak ini,” kata kenyataan itu semalam. 

Menurut Jawatankuasa Ekonomi PH, infrastruktur kesihatan awam perlu dipastikan mampu untuk menangani kes-kes positif yang dijangka terus tinggi terutamanya kapasiti fasiliti unit rawatan rapi (ICU) untuk kes-kes kronik. 

Tambahnya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membina pusat rawatan khusus untuk Covid-19 bagi mengurangkan beban hospital sedia ada. 

“Pendekatan ini pernah diambil dahulu dengan penubuhan hospital khusus untuk pesakit kusta dan pesakit batuk kering (tuberculosis),” katanya lagi. 

Memandangkan bilangan kluster tempat kerja yang tinggi terutamanya daripada sektor pembuatan, tegas kenyataan itu, kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk mengawal penularan wabak tersebut di kilang-kilang dan kuarters pekerja.

Tambahnya, usaha tersebut tidak akan berjaya jika kerajaan hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang atau peraturan baru semata-mata. 

Kenyataan itu menjelaskan, kebanyakan kilang-kilang, terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS) sedang bergelut dengan masalah kewangan dan aliran tunai. 

Jelasnya, tentunya mereka tidak mampu untuk menanggung kos untuk mengubahsuai fasiliti mereka menjadi kalis pandemik. 

“Bantuan-bantuan kewangan dan moratorium bersasar (jika layak) pula hanya membantu untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan pengekalan pekerja,” katanya. 

Dalam masa sama, PH turut menggesa kerajaan segera membelanjakan sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam bentuk geran dan pembiayaan mudah bagi membantu perniagaan daripada semua sektor. 

Kenyataan itu memberitahu, langkah itu adalah untuk menjadikan fasiliti mereka kalis pandemik.

“Kerajaan Negeri Selangor telah memulakan usaha ini dengan memperkenalkan Program Prevention of Outbreak at Ignition Sites (POIS), termasuk memperuntukkan RM500,000 untuk memastikan pematuhan dan kawalan kesihatan di tempat kerja. 

“Kerajaan Persekutuan tentunya mempunyai sumber dan kekuatan kewangan untuk berbelanja lebih banyak daripada Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan kejayaan program seumpama ini,” katanya. 

Tambahnya, langkah-langkah itu perlu disertakan dengan subsidi ujian saringan di tempat kerja secara berkala sebagai langkah pencegahan awal. 

Ujarnya, ia seiring dengan langkah ‘find, test and trace, isolate, support and vaccinate’ (FTTIS+V) yang disarankan pakar-pakar kesihatan.

“Kerajaan juga perlu memperkenalkan insentif melalui potongan cukai atau subsidi untuk memasang sistem ‘sensor’ dan pengudaraan yang bersesuaian,” katanya. 

Jawatankuasa itu menambah, dua strategi utama yang dinyatakan akan membantu Malaysia dalam mengurus dan menghidupkan semula sektor ekonomi dalam suasana norma baharu. 

“Andai nanti Malaysia mencapai imuniti kelompok melalui kempen vaksinasi sekalipun, kita perlu bersiap-siaga dalam menghadapi kebarangkalian kemunculan varian-varian baru Covid-19 yang lebih berbahaya.

“Kita perlu berbelanja dan melabur dalam memastikan ekonomi kita kalis pandemik agar rakyat dapat meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan kes positif yang tinggi. 

“Kita perlu memberi jaminan kepada pemain industri dan pelabur bahawa aktiviti perniagaan boleh dijalankan seperti biasa dan tempat kerja boleh menjadi ruang yang selamat untuk semua,” katanya. 

Jelasnya, kerajaan harus berhenti daripada mengambil pendekatan sekatan pergerakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang bercelaru dan mengelirukan secara serta merta. – Roketkini.com