Kenyataan Akhbar

WHO sepatutnya jadi penentu terakhir pengiktirafan vaksin

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP)

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sepatutnya menjadi penentu terakhir pengiktirafan vaksin dan tidak membiarkan kepentingan geopolitik mendiskriminasi antara vaksin atau sumber pengeluaran.

DAP ingin menyatakan kebimbangan bahawa Kesatuan Eropah (EU) hanya mengiktiraf Vaxzevria (vaksin AstraZeneca) yang telah diluluskan oleh Agensi Perubatan Eropah (EMA). Ini secara efektif menyekat pengiktirafan AstraZeneca yang dihasilkan dari SK Bioscience Korea Selatan dan Siam Bioscience Thailand. Dimaklumkan, Malaysia telah membeli vaksin AstraZeneca dari dua sumber kilang pengeluaran ini, yang bermaksud bahawa kita tidak sepatutnya membeli dari dua sumber ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sepatutnya menjadi penentu terakhir pengiktirafan vaksin dan tidak membiarkan kepentingan geopolitik mendiskriminasi antara vaksin atau sumber pengeluaran. Pada saat dunia sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi, timbul rasa tidak senang apabila ada negara jiran yang enggan menerima pengiktirafan WHO terhadap vaksin Sinovac dari China atau vaksin lain hanya kerana mereka dihasilkan di negara-negara tertentu. Membiarkan kepentingan geopolitik campur tangan dalam isu kesihatan adalah tidak adil dan keterlaluan.

Ini hanya akan menambah kekeliruan di kalangan masyarakat kita dan boleh mempengaruhi program imunisasi kebangsaan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok. Setakat ini WHO tidak pernah mempersoalkan keberkesanan atau keselamatan Sinovac atau AstraZeneca yang dihasilkan di Korea Selatan atau Thailand. Menggunakan pengiktirafan vaksin sebagai senjata geopolitik untuk mendiskriminasi antara vaksin dari negara tertentu juga akan memberi kesan kepada negara yang membeli dan menggunakan vaksin ini.

Kerajaan perlu secara agresif mencari penyelesaian mengenai perkara serius ini dengan EU dan negara-negara jiran yang berkenaan bagi meyakinkan masyarakat tentang keberkesanan dan keselamatan vaksin. DAP bersedia menyokong kempen untuk mengesahkan pengiktirafan vaksin oleh WHO sebagai bukti sahih keberkesanan, kebolehpercayaan, dan keselamatan vaksin. – Roketkini.com