Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Isu perbahasan Parlimen: Speaker perlu jelaskan

Oleh Aziera NH

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun perlu menghentikan keadaan kucar-kacir dan kekeliruan serta menjelaskan kepada semua bahawa akan ada perbahasan apabila Parlimen bersidang semula Isnin ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, perkara ini tidak sepatutnya menjadi masalah memandangkan Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, telah menjanjikan yang akan ada perbahasan apabila Parlimen bersidang Isnin nanti.

“(Ini) Memandangkan Perdana Menteri telah pun menulis kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memberikan ruang kepada Ahli Parlimen berbahas dan mengemukakan soalan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Kit Siang, persidangan khas bermula Isnin depan perlu memenuhi dua matlamat utama iaitu:

1- Memenuhi titah Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja untuk membahaskan Proklamasi Darurat, Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

2- Membawa perubahan dalam usaha melawan wabak Covid-19 kerana Malaysia kini dilihat sebagai antara negara dengan prestasi terburuk dalam mengekang penularannya. 

“Kerana itulah saya cadangkan mesyuarat Kabinet semalam (kelmarin) untuk menetapkan matlamat yang jelas untuk persidangan khas pada Isnin depan ini, supaya Perdana Menteri dapat memimpin usaha negara apabila Parlimen bersidang nanti.

“Saya juga telah cadangkan yang Rangka Kerja Pemulihan Covid-19 yang dibentangkan oleh persatuan sivil Health Emergency Action Plan dijadikan asas perbahasan minggu hadapan,” ujarnya. – Roketkini.com