Uncategorized

Kepincangan, kecuaian dalam tatacara pembatalan 6 ordinan darurat, petanda sebuah kerajaan gagal

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)

Kepincangan dan kecuaian dalam tatacara pembatalan enam ordinan darurat yang menimbulkan kekeliruan rakyat adalah satu lagi petanda sebuah kerajaan gagal.

Kerajaan PN bukan sahaja telah menghina Parlimen secara terbuka tetapi juga gagal menghormati prinsip Rukunegara dalam Kedaulatan Undang-Undang. 

Setelah mendapat tekanan yang hebat daripada Pembangkang di Parlimen semalam, Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan telah membuat pengumuman yang luar biasa secara gopoh dan tergesa-gesa bahawa kerajaan tidak akan melanjutkan Proklamasi Darurat selepas 1 Ogos dan telah memutuskan untuk membatalkan enam Ordinan Darurat yang berkuatkuasa pada 21 Julai  2021, telah mengheret seluruh negara ke dalam kekeliruan yang besar. 

Tidak ada pengumuman awal sebelum sidang Parlimen pada 26 Julai, bahawa Yang di-Pertuan Agong telah membatalkan enam ordinan darurat yang diikuti dengan Warta Kerajaan Persekutuan seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

Tidak ada kenyataan bertulis yang jelas dikeluarkan bagi menyatakan 6 Ordinan Darurat yang telah dibatalkan, bersama dengan warta persekutuan yang perlu dibentangkan di Parlimen sebagaimana yang dikehendaki di bawah Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, pihak pembangkang terpaksa memaksa kerajaan untuk memberikan maklumat tersebut. Daripada lenggok badan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Takiyuddin ketika ditekan oleh Ahli Parlimen Pembangkang semalam, nampak seperti Yang di-Pertuan Agong masih belum memberikan perkenan Diraja dan sebab itu tiada warta Persekutuan.

Oleh kerana tidak ada Warta Kerajaan Persekutuan, maka kerajaan perlu membentangkan usul di Parlimen sebagaimana yang dikehendaki di bawah Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan supaya 6 Ordinan Darurat berkenaan dibatalkan. Jika tidak, pengumuman oleh Takiyuddin gagal memberikan kepastian, kejelasan dan ketekalan yang amat penting bagi urus tadbir keadilan. Kekeliruan besar yang disebabkan oleh kegagalan untuk menegakkan undang-undang adalah satu lagi petanda kerajaan gagal.

Bayar semula mereka yang telah membayar lebih daripada RM1,000 untuk individu dan RM50,000 untuk badan korporat bagi kompaun yang dikeluarkan selepas 21 Julai.

Kepincangan dan kecuaian dalam tatacara pengumuman penting ini menunjukkan ketidakcekapan kerajaan dan bahawa ia didorong oleh pertimbangan politik semata-mata. 

Darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari jelas merupakan penyalahgunaan kuasa oleh PN yang dilakukan bukan untuk menangani pandemik Covid-19, tetapi untuk memastikan survival politik mereka sendiri setelah kehilangan majoriti Parlimen. 

Ini dibuktikan oleh tsunami kes Covid-19 dalam tempoh darurat yang melebihi satu juta kes secara kumulatif pada 25 Julai dan rekod tertinggi 207 kematian pada 26 Julai menjadikan jumlah kematian melebihi 8,000.

Keengganan kerajaan untuk menjernihkan kekeliruan ini akan memberi banyak implikasi praktikal dalam pentadbiran kerajaan kerana Ordinan Darurat yang masih mempunyai keberkesanan undang-undang. 

Persoalan terbesar adalah keabsahan perundangan bagi 2,200 kompaun yang dikeluarkan terhadap individu antara 21 Julai dan 25 Julai seperti yang dilaporkan di Malaysiakini. 

Ordinan Darurat telah digunakan untuk menaikkan hukuman maksimum terhadap pelanggaran sekatan PKP dari RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan dari RM10,000 kepada RM50,000 untuk badan korporat.

Sehingga kekeliruan undang-undang ini diselesaikan, kerajaan perlu mengarahkan pihak berkuasa untuk kembali menggunakan kompaun maksimum sebelum ini iaitu RM1,000 untuk individu atau RM10,000 untuk badan korporat, serta mengembalikan wang kepada mereka yang membayar melebihi jumlah tersebut untuk kompaun yang dikeluarkan selepas 21 Julai. – Roketkini.com