Kenyataan Akhbar

Wanita ejen transformasi pembangunan negara

Kenyataan Media oleh Clare Taunek Simbat, Ketua Wanita DAP Sabah

Konvensyen Wanita DAP secara alam maya yang dilaksanakan pada hari Ahad, 25 Julai, menyaksikan perlantikan Ketua Wanita DAP Sabah yang baharu, Sdri Clare Taunek Simbat.

Perlantikan AJK baharu yang diketuai oleh Sdri Clare juga dijangka membawa impak positif daripada sudut perspektif masyarakat khususnya golongan wanita bahawa peranan golongan ini amat besar dan penting dalam tujuan membawa pembaharuan serba-serbi.

Clare dalam ucapan pertama beliau selaku Ketua Wanita DAP Sabah kelmarin berkata bahawa bukan mudah menjadi seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu, dan sekaligus menceburi bidang politik. Ini memerlukan komitmen dan keberanian yang bukan sedikit dalam menyahut cabaran dan terus maju ke hadapan.

“DAP menyedarkan saya akan kepentingan kesaksamaan gender dan pentingnya wanita mengambil bahagian sebagai pembuat keputusan (decision maker).”

“Pemimpin wanita DAP yang lain banyak memberi saya inspirasi yang menjadi bekal semangat dan harapan, bahawa wanita bukan sahaja boleh memimpin tetapi boleh berperanan menjadi ‘game changer’ dalam masyarakat dan negara,” ucap Clare.

Menurut Clare lagi, masih ramai wanita di kalangan Orang Asal Sabah yang belum menyedari akan kepentingan mengapa wanita perlu turut serta sebagai pembuat keputusan dan mesej ini perlu disebar-luaskan kepada rakan-rakan wanita supaya mereka berani tampil dan mengambil langkah ke hadapan.

“Kesaksamaan gender adalah satu misi untuk diperjuangkan demi mencapai pembangunan lestari oleh itu wanita perlu mengambil peranan menjadi ejen perubahan demi generasi yang lebih cemerlang” ujar Clare menutup ucapan.

Dalam pada itu, melalui konvensyen maya ini Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Sdri YB Chong Eng turut menyampaikan amanat yang membangkitkan semangat para perwakilan dan pemerhati yang turut serta.

Nasihat YB Chong Eng bahawa wanita bakal pemimpin perlu bersedia dengan membentuk pemikiran sendiri dan bagaimana melihat diri sendiri (refleksi diri) sebagai satu cara meneruskan lagi perspektif mental agar dapat maju dan sedia untuk memimpin.

“Sentiasa memperkasakan diri dan berfikir apakah sumbangan diri terhadap masyarakat dan negara, bagaimana mewujudkan platform supaya lebih ramai wanita tampil untuk berkhidmat terutama diperingkat sebagai pembuat keputusan.”

“Apabila anda berkapasiti, bersemangat, keazaman yang tinggi, mempunyai kompetensi dan berkebolehan barulah suara anda boleh didengari. Langkah seterusnya adalah usaha untuk membuat perubahan polisi dengan menempatkan diri bersama-sama di meja pembuat keputusan.” Kata YB Chong Eng.

Tambah beliau lagi, setiap keputusan yang dibuat mampu membawa impak perubahan. Oleh itu pemimpin wanita harus memutuskan apakah perubahan yang diingini untuk masyarakat dan negara.

Barisan AJK Wanita DAP Sabah yang baharu turut menyenaraikan penyandang jawatan yang baharu seperti Sdri Pang Pit San sebagai Timbalan Ketua Wanita dan Sdri Yiska Lassan sebagai Setiausaha.