Berita

Berikan tarikh temujanji dos pertama vaksin

Oleh B. Suffian

Tarikh temujanji vaksin dos pertama yang munasabah perlu diberikan kepada semua rakyat Malaysia yang sudah mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tetapi belum menerima temujanji.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, ini ekoran bekalan vaksin untuk PICK sudah mencukupi.

“Baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan telah memberi kebenaran kepada Pharmaniaga untuk menjual 14 juta vaksin Sinovac kepada pihak swasta bermula bulan Ogos. 

“Menurut Menteri yang bertanggungjawab, Khairy Jamaluddin, ini berikutan Pharmaniaga telah selesai menghantar bekalan vaksin yang ditempah kerajaan. 

“Tindakan membenarkan vaksin dijual oleh pihak swasta semestinya bermakna bekalan vaksin untuk PICK sudahpun mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Berdasarkan perkara tersebut, Steven berkata, adalah amat mendukacitakan kerana masih banyak aduan dalam kalangan rakyat termasuk yang sepatutnya tergolong dalam Fasa 2 PICK belum mendapat tarikh temujanji vaksin mereka meskipun untuk dos pertama. 

Setakat 22 Julai 2021, tegasnya, seramai 19.4 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar untuk vaksin namun setakat 23 Julai 2021, hanya 11.2 juta rakyat telah sekurang-kurangnya menerima satu dos vaksin. 

“Jadi masih terdapat 8.2 juta rakyat yang masih menunggu vaksin mereka,” katanya.

Menurutnya, negeri seperti Pulau Pinang yang mencatatkan 87.7 peratus pendaftaran populasi dewasa tetapi baru 43.5 peratus sahaja yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. 

Beliau berkata, kes jangkitan harian melonjak pada rekod tertinggi 15,902 kes pada 24 Julai dengan angka kematian kumulatif sebanyak 7,902.

“Ramai yang berasa gelisah kerana masih belum mendapat tarikh temujanji vaksin mereka,” katanya.

Tambah beliau, semua rakyat yang sudah mendaftar patut sekurang-kurangnya diberikan tarikh temujanji vaksin yang munasabah.  

Beliau menjelaskan, ini ekoran jadual penghantaran vaksin yang diketahui dan bekalan vaksin yang mencukupi sehingga kerajaan boleh membenarkan penjualan vaksin kepada pihak swasta.

“Tanpa memberikan tarikh temujanji vaksin yang munasabah, kerajaan seakan-akan memberi peluang kepada penjual vaksin swasta untuk mengaut keuntungan daripada keresahan rakyat Malaysia yang belum mendapat apa-apa maklumat tentang temujanji vaksin mereka,” katanya. – Roketkini.com