Berita

‘Penutupan Parlimen sejak Khamis lepas satu pengkhianatan’ – Kit Siang

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyifatkan penutupan Parlimen sejak Khamis lepas sebagai satu pengkhianatan selain merugikan negara yang sedang berdepan krisis kesihatan. 

Katanya, Parlimen sepatutnya dibenarkan bersidang untuk merangka dasar dan strategi baharu untuk mengelakkan bencana wabak Covid-19 yang lebih besar menjelang Hari Kebangsaan ke-64. 

“Parlimen perlu bersidang semula secepat mungkin untuk memastikan menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, kita tidak melihat lebih daripada 1.5 juta kes dan 15,000 kematian akibat Covid-19,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau mengulas tindakan kerajaan menutup Parlimen atas alasan penularan Covid-19 dan menghalang ahli Parlimen daripada memasuki bangunan tersebut. 

Menurut Kit Siang, Seksyen 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 memperuntukan kuasa kepada Parlimen untuk menghukum sesiapa yang cuba menghalang mana-mana Ahli Parlimen daripada memasuki Parlimen.

Beliau turut menggesa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk bersidang segera bagi mengambil tindakan terhadap sekatan kepada Ahli Parlimen untuk ke Kompleks Parlimen semalam.

Tambahnya, tindakan itu juga merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan. 

“Bilakah polis akan memulakan siasatan memandangkan laporan polis telahpun dibuat?” soalnya. — Roketkini.com