Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Angka kematian meningkat di Johor, usaha tangani penularan perlu dilipatgandakan

Kenyataan Media Pakatan Harapan Johor pada 26 Ogos 2021

Pakatan Harapan (PH) Johor mendesak Kerajaan Negeri melipat gandakan usaha dan perancangan mengatasi penularan wabak Covid-19 berikutan peningkatan jumlah kematian akibat wabak ini.

Berdasarkan kenyataan media Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada 24 Ogos 2021, negeri Johor mencatatkan jumlah kematian tertinggi Covid-19 kali kedua secara berturut-turut, mengatasi negeri Selangor yang mencatatkan angka kematian tertinggi sebelum daripada ini.

Pada 23 Ogos 2021, Johor mencatatkan kes kematian Covid-19 tertinggi di Malaysia iaitu 41 kes berbanding 211 kes keseluruhannya. Ia meningkat pula kepada 51 kes kematian daripada keseluruhan 174 kes yang dilaporkan pada 24 Ogos 2021.

Penularan kes melibatkan sektor industri di Johor masih membimbangkan. Berdasarkan maklumat dari Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, YB R. Vidyananthan semasa sidang DUN Johor 22 Ogos lalu, sektor industri Johor mencatatkan jumlah kluster aktif Covid-19 tertinggi, iaitu sebanyak 142 kluster.

PH Johor menggesa agar kerajaan negeri meningkatkan kaedah cari, uji, jejak, asing dan sokong (FTTIS) untuk mengatasi penularan Covid-19 di Johor. Pendekatan ini penting agar Johor bersedia menghadapi penularan wabak pada masa akan datang, khususnya dengan kewujudan varian Delta dan Lambda yang dijangka boleh merisikokan lagi kadar peningkatan jangkitan.

Meskipun 50% kadar populasi di Johor sudah menerima dos vaksin pertama, kadar populasi penerima dos lengkap menerusi vaksin kedua masih lagi rendah, iaitu sebanyak 28% sahaja sehingga 24 Ogos 2021. Ia merupakan antara yang terendah di Malaysia.

PH Johor menegaskan kadar vaksinasi Johor perlu ditingkatkan segera untuk mencapai imuniti kelompok pada hujung tahun ini. Kerajaan negeri perlu sedar bahawa setiap kelewatan amat berisiko menatijahkan lebih ramai angka korban.

Kadar suntikan harian Johor juga tidak konsisten. Jumlah pemberian vaksin paling tinggi direkodkan di Johor dari 18 hingga 24 Ogos adalah sebanyak 72,165 dos iaitu pada 19 Ogos. Tetapi, terdapat juga trend penurunan ketara dibawah paras 70,000 dos sehari dalam tempoh tiga hari berturut-turut, iaitu pada 20 Ogos (68,004 dos), 21 Ogos (64,643 dos), dan 22 Ogos (65, 433 dos).

Kelembapan pemberian vaksin di Johor menyebabkan masih ramai rakyat di negeri ini yang belum dilindungi. Mereka berisiko tinggi untuk berada di tahap 3, 4 dan 5 sekiranya dijangkiti.

Situasi ini bakal melumpuhkan sistem kesihatan negeri, khsusunya peningkatan pesakit Covid-19 di ICU yang kini sudah mencapai hampir 85%. Ia boleh menjadi faktor utama ancaman risiko kehilangan nyawa yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan angka kadar kematian Covid-19 Johor pada hari-hari mendatang.

PH Johor mencadangkan agar kerajaan negeri meningkatkan infrastruktur dan kemudahan sistem kesihatan seperti menambah kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memperkukuh barisan hadapan untuk memastikan bangsa Johor mendapat rawatan terbaik dan segera pulih daripada jangkitan Covid-19.

PH Johor juga berharap agar kerajaan negeri mengambil langkah inklusif dengan melibatkan ADUN-ADUN rentas partisan dalam usaha merangka pelan pemulihan pandemik pada kadar segera khususnya dalam menambahbaik sistem kesihatan negeri dan perancangan membuka sektor industri dengan selamat.

Hal ini amat penting agar bangsa Johor dapat bekerja semula demi meneruskan keberlangsungan hidup pada era pandemik Covid-19 dan membina semula kemampanan ekonomi negeri.


TAMAT

YB AMINOLHUDA HASSAN
Ketua Pembangkang Dewan Negeri (DUN) Johor
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor

YB SYED IBRAHIM SYED NOH
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor

YB LIEW CHIN TONG
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor