Kenyataan Akhbar

Lantik Mahiaddin: Adakah PM dah ketandusan idea? 

Oleh Aziera NH 

Pelantikan Mahiaddin Md Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Nasional (MPN) dengan status Menteri untuk mengawasi pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah mengecewakan banyak pihak. 

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pelantikan ini seolah-olah menunjukkan bahawa Perdana Menteri (PM), Ismail Sabri tidak serius dan komited terhadap PPN. 

“Pelantikan ini juga dilihat sebagai satu bentuk saguhati politik kepada Mahiaddin, setelah dipaksa meletakkan jawatan sebagai PM.

“Ismail telah melantik Menteri dan Timbalan Menteri sebagaimana yang telah dilakukan oleh Mahiaddin dalam 17 bulan dengan jumlah 74 orang, tindakan yang membazirkan dana dan sumber awam,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Tambah Guan Eng, PPN sepatutnya menjadi halatuju untuk mengawal Covid-19 di samping secara progresif membuka kembali sektor sosial dan ekonomi ke arah normal baharu menjelang Disember 2021. 

“Dengan melantik bekas PM untuk mempengerusikan PPN dan bukan dirinya sendiri, Ismail merendahkan kepentingan jawatankuasa tersebut dan menjadikannya sebuah jawatankuasa biasa sahaja.

“Adakah Ismail Sabri begitu cepat ketandusan idea selepas dua minggu menjadi PM sehingga dia perlu bergantung pada bekas Perdana Menteri sebelum ini yang gagal?” ujarnya. – Roketkini.com